Lorong Perbandaran di Klang dibuka semula untuk lalu lintas mulai 20 Jun 2019 – Presiden MPK

Ini ada berita baik untuk penduduk Klang dan pengguna jalan raya di daerah berkenaan. Selepas ditutup mulai 3 April 2018, Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat keputusan untuk membuka semula Jalan Perbandaran, iaitu salah satu laluan utama paling sibuk di dearah berkenaan, kepada lalu lintas bermula 20 Jun ini.

“Walau bagaimana pun, laluan berkenaan dibuka setiap waktu puncak iaitu dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 4 petang hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat. Ia akan ditutup pada trafik setiap hujung minggu dan juga cuti umum,” ujar presiden MPK Datuk Mohamad Yasin Bidin seperti yang dilaporkan oleh The Star.

Tambahnya lagi, pada waktu berkenaan, pihak MPK akan sentiasa mengawal pergerakan trafik, dari Jalan Raya Barat ke Jambatan Kota menerusi Jalan Perbandaran.

Lorong Perbandaran merupakan antara laluan untuk pengguna jalan raya ke bandar Klang, Meru dan Kapar menerusi Jambatan Kota, serta ke kawasan berdekatan dengannya termasuk pejabat tanah dan daerah Klang, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan juga kawasan komersil Little India.

Penutupan jalan terbabit sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat. Di mana ia telah menambah kesesakan trafik yang teruk berhampiran kuil Kuan Yin di Jalan Raya Barat setiap kali waktu puncak. Justeru, MPK membuat keputusan untuk membuka semula laluan terbabit pada setiap waktu puncak.