Dua minggu berturut-turut bahan api petrol RON97 dilaporkan mengalami penurunan harga. Berbanding minggu lalu dengan RM2.63 seliter, dan minggu bertarikh 15 hingga 21 Jun 2019 pula, ia dilaporkan turun lagi sebanyak 22 sen seliter menjadi RM2.41 seliter. Harga baharu ini efektif mulai tengahmalam ini sehingga Jumaat minggu hadapan.

Walau bagaimana pun, petrol RON 95 masih kekal pada harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dengan dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.

Menurut Kementerian Kewangan, penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya. Pada masa yang sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 seliter dan RM2.19 seliter masing-masing. Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.