ABT Sportsline GmbH telah umumkan pakej naik taraf bagu SUV Lamborghini Urus – termasuk aspek peningkatan prestasi. Dalam keadaan standard sahaja SUV pertama Lamborghini berkenaan telah dilengkapi enjin 4.0 liter biturbo V8 dengan janaan 650 PS dan 850 Nm tork, menjadikan pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat.

Dengan tambahan ABT Engine Control (AEC) pula, output berkenaan ditingkatkan lagi sebanyak 60 PS dan 60 Nm, menjadikan janaan keseluruhan 710 PS dan 910 Nm. Pecutan 0-100 km/j pula menjadi lebih pendek kepada 3.4 saat – ini menjadikannya lebih pantas daripada sebahagian daripada kereta sport yang lain. Kelajuan maksimum standard bagi Urus ialah 305 km/j.

Menurut ABT Sportsline, pakej ini turut datang dengan pelindungan waranti dan talaan yang dilakukan khusus untuk setiap unit, dengan ujian berasingan. Ini termasuk data-data yang dikumpulkan oleh dynometer canggih yang digunakan.

Dalam perkembangan lain, Lamborghini khabarnya sedang mempersiap Urus dengan prestasi yang lebih tinggi, dikenali sebagai Urus Performante. Syarikat itu juga baru-baru ini telah memperkenalkan Urus ST-X Concept, sebuah jentera yang siap untuk kegunaan dilitar dan dilengkapi ciri keselamatan yang disahkan oleh FIA.