Rasanya seluruh pelusuk dunia sudah tahu bahawa Toyota Supra generasi kelima dihasilkan dari platform BMW Z4 G29, dan dijana juga oleh enjin yang sama iaitu enjin BMW B58 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo. Antara persoalan paling popular setelah kedua-dua kereta sport tersebut dilancarkan adalah, adakah prestasinya sama? atau salah satu daripadanya adalah lebih laju?

Untuk mengetahui jawapan yang menghantui ramai peminat automotif ini, saluran Youtube Carwow telah melakukan ujian dengan cara mudah – lumba drag dalam jarak 400 meter antara Supra A90 dan BMW Z4 M40i. Di atas kertas, kedua-dua kereta ini memaparkan maklumat prestasi yang sama iaitu 340 hp/500 Nm, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, dan memacu hanya roda belakang.

Apa yang berbeza tentulah pada bahagian luaran, di mana Z4 menampilkan rupa bentuk roadster tradisi mereka dengan bumbung softop yang boleh dibuka, manakala Supra kekal sebagai sebuah kereta sport GT dua-pintu dengan bumbung keras.

Apa yang mengejutkan, dalam perlumbaan ini Supra menghabiskan jarak suku batu dari kedudukan pegun dalam masa tepat 12 saat, manakala BMW Z4 tertinggal 0.5 saat di belakang. Tidak puas hati, perlumbaan ini dilakukan sekali lagi, tetapi keputusannya tetap sama iaitu Supra masih berada di hadapan!

Carwow turut melakukan ujian pecutan secara rolling start, iaitu kedua-duanya bermula pada kelajuan 50 bs/j (80.5 km/j), dan keputusannya tetap sama – Z4 ditinggalkan oleh Supra selepas kedua-duanya menekan pedal pendikit secara maksimum.

Namun, Supra kalah pada ujian terakhir iaitu ujian membrek. Dalam ujian ini, kedua-dua kereta akan membrek serentak pada kelajuan 70 bs/j (113 km/j). Jarak membrek Supra adalah sedikit jauh berbanding Z4, tetapi hanya tidak sampai separuh kereta – mungkin kerana perbezaan sistem brek di mana menggunakan sistem jenama prestasi mereka sendiri iaitu BMW M, manakala Supra menerima sistem dari Brembo. Untuk rekod, kedua-dua kereta ini dibekalkan dengan tayar yang sama dari kilang iaitu Michelin Pilot Super Sport.

Ketika Supra A90 dibangunkan, pembantu ketua jurutera untuk projek ini Masayuki Kai pernah memberitahu bahawa pasukan jurutera Toyota dan BMW langsung tidak berkomunikasi sejak tahun 2014, dua tahun selepas projek kedua-dua kereta sport tersebut bermula. Ini menjadikan kedua-dua kereta tersebut mempunyai karekter berbeza kerana tidak ditala bersama-sama.

“Secara asasnya, platform adalah sama… jadi kami rasa kami menggunakan komponen yang sama, tetapi seperti yang saya nyatakan, kami tak pasti adakah mereka akan menggunakan komponen yang sama,” jelas Kai dan menambah bahawa pasukannya bekerja keras bagi menala suspensi adpatif, enjin dan transmisi pada Supra tersebut bagi memberikan rasa yang Toyota mahukan.

“Talaan untuk penukaran gear, berberapa kejutan tukaran gear, kelajuan tukaran gear, semua ini adalah direka khas untuk Supra… Untuk enjin, kami talanya bagi memberikan respon pendikit lebih baik dan juga lebih sporty,” terang Kai.

GALERI: Toyota GR Supra A90

GALERI: BMW Z4 G29 M40i