BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

BMW Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model 7 Series G12 LCI (kata lain bagi facelift yang digunakan oleh BMW) bagi model berkenaan. Ia hadir beberapa bulan selepas model sama mula diperkenalkan diperingkat global pada Januari tahun ini.

Untuk pasaran tempatan di sini, hanya satu varian tunggal plug-in hybrid ditawarkan, iaitu BMW 745Le xDrive yang menggantikan 740Le sebelum ini. Merupakan model CKD, harga jualannya bermula dari RM594,800 atas jalan tanpa insurans. Ini merupakan harga selepas ditolak insentif EEV oleh kerajaan; harga asal tanpa potongan berkenaan ialah RM907,145.

Sedan besar/limosin ini menggunakan enjin 3.0 liter turbocaj enam-silinder sebaris yang diambil dari model 745Le yang lebih asas, menggantikan unit enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang digunakan pada 740Le. Enjin 3.0 liter berkenaan menghasilkan sebanyak 286 hp dari 5,000-6,000 rpm dan 450 Nm tork dari 1,500-3,500 rpm. Ini digandingkan pula dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, 113 PS pada 3,170 rpm dan 265 Nm dari 0-2,700 rpm – 15 Nm lebih tinggi dari sebelumnya.

Secara keseluruhannya, sistem ini memberikan output terkumpul sebanyak 394 hp dan 600 Nm. Motor elektrik berkenaan disepadukan di dalam sistem transmisi, yang menggunakan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan, membolehkannya bukan sahaja memberikan pacuan secara terus, tetapi turut berfungsi sebagai generator untuk meraih kembali tenaga ketika membrek dan meluncur.

BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

Sekali dengan sistem pacuan semua roda xDrive, keseluruhan sistem yang ada ini memberikan output sebanyak 394 PS dan 600 Nm. Ini lebih tinggi berbanding yang diberikan 740Le sebelum ini (326 PS/500 Nm). Dari sudut prestasi, bacaan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.3 saat dan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

Motor elektriknya kini dikuasakan oleh bateri lithium-ion 12 kWh, yang mempunyai lebih kapasiti berbanding unit sebelum ini pada kadar 9.2 kWh. Masih diletakkan di bawah tempat duduk belakang, bateri 355 volt berkenaan digunakan untuk menyalakan rangkaian peranti kereta ini, serta sistem lainnya seperti pendingin hawa.

Untuk mengecas bateri, ia boleh dilakukan dengan kabel pengecas AC fasa tunggal yang disediakan dan disambungkan pada soket biasa di rumah, walaupun akan mengambil masa yang agak lama. Cara lebih cepat untuk ini adalah dengan menggunakan sambungan AC tiga-fasa melalui BMW Public Charging Cable serta stesen mengecas awam.

Alternatif lain, BMW i Wallbox/Wallbox Plus juga ditawarkan sebagai pilihan. Ia mampu memberikan output 22 kW sekiranya rumah anda menggunakan saluran kuasa elektrik tiga-fasa. Memandangkan 745Le didatangkan dengan pengecas 3.7 kW, masa paling singkat untuk mengecas penuh baterinya ialah 4.4 jam.

BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

Satu caj penuh boleh memberikan sekitar 50 km jarak pacuan elektrik sepenuhnya, dengan kelajuan maksimum 140 km/j. 745Le ini didakwa mampu memberikan bacaan penggunaan minyak serendah 2.3 liter bagi 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Kadar pembebasan C02 pula ialah 52 g/km.

Suspensi pula kereta ini menggunakan jenis double wishbone untuk bahagian hadapan, manakala di belakang ia menggunakan talaan jenis five-link. Kedua-duanya hadir dengan ciri suspensi udara larasan sendiri. Selain itu, ia menggunakan sistem stereng kuasa elektronik dengan fungsi Servotronic serta Integral Active Steering (untuk roda belakang).

Terdapat lima mod pemanduan untuk dipilih oleh pemandu – Sport, Adaptive, Hybrid, Electric dan Battery Control. Sebaik kenderaan dihidupkan, ia akan berada di dalam mod Hybrid. Mod Batery Control pula membolehkan pemandu untuk tahap cas bateri tertentu untuk kegunaan kemudian.

Antara penampilan baru pada kereta ini ialah rekaan “kidney grille” yang 40% lebih besar. Lampu pula lebih tirus, menggunakan teknologi BMW Laserlight. Untuk pasaran tempatan, 745Le yang dijual di sini datang dengan pakej M Sport. Lampu belakang pula hadir dengan visual 3D dan 35 mm lebih nipis untuk dipadankan dengan rekaan lampu utama di depan. Dua corong ekzos masih lagi dikekalkan. Pengenalan “L” bagi model ini pula merujuk kepada jarak antara roda yang panjang – 3,210 mm.

Untuk ruang dalaman, tambahan sistem Live Cockpit Professional merupakan kemaskini yang penting. Terdahulu, sistem ini sudah diperkenalkan pada mdoel X5 terbaru, 3 Series dan juga Z4. Terdiri daripada dua paparan – 10.25-inci yang bertindak sebagai kluster instrumen dan skrin 12.3-inci utama yang dikuasakan oleh BMW Operating System 7.0.

Lain-lain kelengkapan yang ada termasuk kawalan pendingan hawa empat zon, kemasan kulit, bumbung panoramik Sky Lounge, BMW Display Key, 16-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 600 watt serta sistem hiburan penumpang belakang dengan dua skrin 10-inci yang boleh dikendalikan melalui tablet BMW Touch Command tujuh-inci.

Bagi ciri keselamatan, ia menerima tujuh beg udara, pakej bantuan pemanduan yang terdiri daripada ciri seperti amaran perlanggaran dan pejalan kaki dengan City Braking, amaran mengekalkan lorong (dari kelajuan 70-120 km/j), amaran pertukaran lorong (dari 20 km/j-kelajuan maksimum), info had kelajuan serta amaran perlanggaran serta amaran lintasan belakang.

Kereta ini turut hadir dengan jaminan lima-tahun/tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua-tahun, bantuan tepi jalan BMW, BMW Service Online dan BMW White Card dengan capaian kepada aplikasi mudah alih Loyalti+.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required