BMW secara rasminya telah memperkenalkan 7 Series G11/G12 LCI yang sebenarnya adalah versi facelift bagi model tersebut. Selain perubahan gaya, sedan mewah ini juga mendapat beberapa peningkatan lain termasuk pada enjin dan kelengkapan berteknologi.

Cara paling mudah untuk melihat perbezaan model baru ini adalah di bahagian mukanya, di mana gril kini adalah 40% lebih besar dan merupakan satu unit tunggal. Disebabkan gril ini juga, tinggi bahagian depan kereta telah meningkat sebanyak 50 mm.

Lampu pula kelihatan nipis, dan ia didatangkan dengan teknologi Adaptive LED secara standard, dan pemilik masih mempunyai pilihan tambahan untuk mendapatkan unit Laserlight. Bahagian bonet juga kini mempunyai garisan yang lebih jelas, bersama logo BMW lebih besar serta bahagian bawah bampar dengan bukaan udara yang diubah.

Turut diperelok pada model baru ini adalah NVH, di mana ia kini lebih senyap, hasil daripada penggunaan tingkap tepi 5.1 mm lebih tebal dan lebih banyak penyerap akustik di keliling roda belakang. Kedua-dua versi kereta baru ini 22 mm lebih panjang berbanding sebelumnya, tetapi tiada perubahan pada jarak roda (Standard 3,070 mm dan LWB 3,210 mm).

Di belakang, perubahannya tidak begitu ketara tetapi BMW memberitahu lampunya yang mempunyai garisan mendatar kini lebih nipis dan terdapat satu jalur lampu sepanjang bahagian belakang itu; di bawah kemasan krom tengah, dan ia akan menyala sama seperti lampu siang. Muncung ekzos juga adalah lebih lebar.

Di dalam, pengecas telefon tanpa wayar diberikan secara standard manakala sistem lampu suasana telah dikemas kini. Pelanggan juga mempunyai pelbagai pilihan untuk barangan seperti balutan tempat duduk, kemasan, tetapan Executive Lounge, pakej M Sport dan fungsi hiburan di tempat duduk belakang (dua skrin 10 inci).

Untuk aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu, 7 Series LCI datang secara terus dengan pakej Driving Assistant dan Parking Assistant, manakala Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut boleh didapati adalah heads-up display dan sistem Night Vision.

Semasa pelancaran, model baru ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol, plug-in hybrid petrol dan juga diesel, bersama padanan transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan secara standard dan sistem pacuan semua roda xDrive sebagai pilihan untuk varian tertentu.

Bagi enjin petrol, ada dua pilihan iaitu unit V8 4.4 liter twin-turbo N63B44T3 (turut digunakan pada 8 Series) dengan kuasa 530 PS dan 750 Nm tork pada 50i xDrive dan 750Li xDrive, dan satu lagi adalah V12 6.6 liter twin turbo dengan kuasa 585 PS dan 850 Nm tork untuk varian M760Li xDrive.

Mereka yang mahukan enjin diesel pula mempunyai tiga pilihan iaitu unit enam silinder sebaris 3.0 liter dengan kuasa 265 PS dan 620 Nm untuk varian 730d, 730Ld, 730d xDrive dan 730Ld xDrive, unit enam silinder sebaris multi-stage turbo 3.0 liter 320 PS dan 680 Nm untuk 740d xDrive dan 740Ld xDrive, dan unit enam silinder sebaris quad-turbo 3.0 liter 400 PS dan 760 Nm untuk 750d xDrive dan 750Ld xDrive.

Baru untuk model facelift ini adalah enjin plug-in hybrid yang menggunakan gabungan enjin enam silinder 3.0 liter turbo 286 PS/450 Nm bersama motor elektrik berkuasa 113 PS/265 Nm. Gabungan ini adalah berbeza berbanding 740Le sebelum ini (menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo).

Secara keseluruhannya, enjin hibrid ini boleh menghasilkan kuasa 394 PS dan 600 Nm, dan BMW memberitahu, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Bateri lithium ion 12 kWh untuk sistem ini terletak di bawah tempat duduk belakang dan ia boleh dicas penuh menggunakan pengecas 3.7 kWh (16 A/230 V) dalam masa sekitar 4.4 jam. Untuk bergerak menggunakan bateri sahaja, jarak yang boleh dicapai adalah 54 km.

Semua varian 7 Series LCI ini datang standard dengan suspensi adaptif, yang termasuk penyerap kawalan elektronik dan suspensi udara dengan fungsi larasan imbang automatik. Pembeli juga boleh membayar lebih untuk mendapatkan sistem rear-wheel steering yang merupakan sebahagian daripada Integral Active Steering, atau active roll stabilisation melalui Executive Drive Pro (tidak termasuk PHEV).