G12 BMW 7 Series plug-in hybrid kini dilancarkan di Malaysia – 740Le xDrive berharga RM598,800

G12 BMW 7 Series plug-in hybrid kini dilancarkan di Malaysia – 740Le xDrive berharga RM598,800

Malam ini, BMW Malaysia telah pun melancarkan BMW 7 Series plug-in hybrid dengan model 740Le xDrive untuk pasaran tempatan. Hadir dengan teknologi eDrive, kini menawarkan inovasi yang mendahului industri daripada BMW i ke dalam limosin mewah dan moden di Malaysia.

Seperti 330e, 740Le xDrive ini juga dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang dipertingkatkan kuasa sehingga 258 hp dan tork 400 Nm, sama seperti 730Li. Ia juga dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 113 hp dan tork 250 Nm bersama transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, bersama bateri lithium-ion 9.2 kWh, menjadikan keseluruhan kuasanya mencecah 326 hp dan tork 500 Nm.

Dari segi prestasi, 740Le xDrive ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam tempoh 5.3 saat, menjadikannya lebih pantas daripada 730Li (6.3 saat) dan hanya sedikit perlahan berbanding 740Li (5.6 saat). Bagaimanapun, dengan ciri plug-in hybrid ini turut mampu memberikan pacuan elektrik sepenuhnya dalam jarak maksimum 41 km, dengan kelajuan maksimum dalam mod ini sehingga 140 km/j.

Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula dianggarkan sekitar 2.3 liter per 100 km dan emisi karbon dioksida pula 53 gram per km. Dengan bateri yang terletak di bawah tempat duduk belakang, ruang kargo diturunkan dari 515 liter ke 420 liter.

G12 BMW 7 Series plug-in hybrid kini dilancarkan di Malaysia – 740Le xDrive berharga RM598,800

Sebagai varian BMW iPerformance, casis 740Le xDrive ini terdiri daripada dua gandar suspensi udara dengan pelarasan ketinggian automatik dan Kawalan Peredam Dinamik yang menawarkan tahap keselesaan terbaik.

Ia turut membawakan ciri Driving Experience Control – boleh diaktifkan menerusi satu suis pada konsol tengah – melalui pengenalan mod ADAPTIVE yang menetapkan maklum balas kereta mengikut gaya dan profail laluan pemandu. Sementara mod-mod seperti ECO PRO, COMFORT dan SPORT telah dipertingkatkan untuk menyerlahkan lagi komposisi pemanduan yang dinamik, selesa dan efisien yang mempengaruhi pengalaman memandu.

Aspek Sheer Driving Pleasure menerusi sistem BMW xDrive dipertingkatkan lagi apabila ia dipasang buat pertama kalinya ke dalam model sedan BMW di Malaysia. Ia merupakan sistem pacuan semua roda paling fleksibel dalam segmennya. xDrive beroperasi secara proaktif serta membolehkan kuasa diagihkan ke roda hadapan dan belakang mengikut keperluan. Malah, sistem ini mampu menyalurkan hampir 100% kuasa ke setiap roda. Ini menawarkan cengkaman maksimum, tujahan optimum dan pemanduan dinamik yang sangat tepat kepada BMW 740Le xDrive Serba Baharu.

Bagi reka bentuknya, ia ditampilkan dengan sifat yang cukup elegan dan penuh emosi, sekali gus menjadikan limosin mewah ini sebagai ikon dan mobiliti yang berpandangan jauh. Ciri-ciri khas yang menyerlahkan keupayaan pemanduan inovatif sebuah BMW 740Le xDrive Serba Baharu dengan Teknologi eDrive termasuklah lencana eDrive pada tiang-C dan logo BMW i pada panel sisi hadapan limosin ini.

Berdasarkan penampilannya, ia kelihatan membawa beberapa ciri yang sama dengan model semasa 740Li, termasuk lampu utama Laserlight, dan pakej rekaan luaran Pure Excellence dengan menambah kekemasan krom pada corong pengambilan udara hadapan dan di sekeliling paip ekzos.

Ia juga hadir dengan penampilan yang hebat menerusi tapak roda dan perkadaran seperti model sebelumnya. Seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan paling besar yang pernah dibina oleh BMW sehingga kini. Gaya yang elegan itu disempurnakan lagi dengan satu set rim aloi ringan jejari-berkembar bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 245/45R di hadapan dan 275/40R di belakang.

Ia juga ditampilkan dengan pengesan radar pada bahagian plat nombor hadapan dan kamera stereo pada bahagian atas cermin hadapan, yang dimasukkan dalam pakej Driving Assistant Plus.

Ruang kabin pada model ini juga sarat dengan bentangan kreatif termasuklah ciri BMW Touch Display pada monitor dan BMW Gesture Control. Atmosfera ruang kabin ini juga diperkaya dengan Rekaan Lampu Ambien yang merangkumi Welcome Light Carpet pada bahagian hadapan pintu depan yang mengalu-alukan kedatangan pemandu dan penumpang ke dalam kereta.

G12 BMW 7 Series plug-in hybrid kini dilancarkan di Malaysia – 740Le xDrive berharga RM598,800

Sementara lampu ambien di dalam kereta pula menawarkan enam warna dan mood berbeza. Sama seperti BMW 7 Series generasi keenam, 740Le xDrive ini turut menampilkan bumbung kaca panoramik Sky Lounge yang dipasang dengan lebih 15,000 butiran lampu LED.

Beralih ke bahagian tempat duduk belakang pula, unit kawalan BMW Touch Command diletakkan di konsol tengahnya – ini merupakan satu lagi inovasi yang mengubah segmen kenderaan mewah. Sebagai tablet bersaiz tujuh-inci pertama yang boleh dialih keluar dan disambung dengan sistem kenderaan, penumpang kini boleh mengakses semua fungsi hiburan dan ciri keselesaan yang ada.

Malah turut ditampilkan dengan sistem bunyi 600w Harman Kardon bersama 16-unit pembesar suara, keselesaan dipertingkatkan lagi dengan tempat duduk yang dibina bersama pelarasan elektrik untuk pemandu dan penumpang hadapan. Tempat duduk penumpang belakang juga tidak kurang selesanya dengan fungsi lapan program urutan, termasuklah program Vitality.

Ia juga hadir dengan elemen lain termasuk tempat duduk dengan kulit upholstery Nappa bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar Grain Grey) dengan pelarasan tambahan untuk hadapan dan belakang, sokongan lumbar dan fungsi mengurut serta kawalan suhu automatik empat-zon dan Pandangan Sekeliling 360-darjah.

Bagi aspek keselamatan pula, ia menampilkan Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi Stop & Go, bantuan kawalan stereng dan lorong dan bantuan kekal lorong dengan perlindungan perlanggaran sisi aktif untuk semi pemanduan sendiri, juga bantuan trafik lintasan hadapan dan belakang. Selain itu, ia juga didatangkan dengan fungsi Bantuan Pemanduan asas termasuklah brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, pencegahan pelanggaran belakang, amaran menukar lorong dan ketibaan lorong serta amaran trafik lintasan belakang.

Pelbagai status data kenderaan dan operasi fungsi terpilih juga boleh dikendalikan oleh BMW Display Key melalui ciri Touch Display bersepadunya. Pemandu boleh memeriksa takat minyak di dalam tangki, jarak terkini kenderaan, status cas, status sistem kunci berpusat, tingkap dan bumbung kaca, mengetahui masa serta mengaktifkan sistem pendingin hawa dan ventilasi dari dalam kenderaan.

Selain itu, ia turut merangkumi beg udara hadapan dan sisi, beg udara bahagian kepala/curtain pada tempat duduk hadapan dan belakang, beg udara untuk lutut pemandu dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang.

Dengan kapasiti tenaga kasar mencecah 9.2 kWh, bateri lithium-ion bervoltan tinggi pada 740Le xDrive ini boleh dicas semula menggunakan soket kuasa domestik. Manakala cas penuh menggunakan BMW i Wallbox Connect boleh dicapai dalam masa kurang lima jam. Proses mengecas boleh diuruskan sama ada menerusi aplikasi BMW Remote pada telefon pintar atau grafik dalam kluster instrumen kereta.

740Le xDrive ini didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), biru (Imperial Blue), putih (Mineral White) dan kelabu (Sophisto Grey).

Ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM598,800 (tanpa insurans) yang turut didatangkan bersama waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan penyelenggaran berjadual percuma.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian setiap varian bagi G12 BMW 7 Series, sila layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required