Nissan Urvan 1982 campervan – kembara keluarga, angkut 500 kg beras lalu Titiwangsa; semua bisa diatur

Nissan Urvan 1982 <em>campervan</em> – kembara keluarga, angkut 500 kg beras lalu Titiwangsa; semua bisa diatur

Sejak beberapa tahun lalu hingga ke hari ini, waktu senggangnya kerap diisi dengan menjelajah ke merata ceruk di seluruh negara untuk membuat kerja amal bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai. Selalunya, perjalanan seperti itu akan memerlukan Farid Ibrahim, 41, bersama isteri dan seorang anaknya bergerak untuk tempoh beberapa hari, sambil membawa barangan untuk diagihkan, biasanya sebagai bantuan kepada asnaf.

Dan, dalam situasi seperti itu, bergantung kepada lokasi yang mereka tuju, adalah agak leceh untuk mencari tempat tidur. Jika ingin mencari tempat menginap atau hotel untuk bermalam, itu memerlukan mereka untuk keluar dari kawasan berkenaan dan menghala ke pekan-pekan kecil berhampiran yang menyediakan kemudahan seperti itu.

“Untuk saya, itu agak menyusahkan dan kami terpaksa membuang masa mencari tempat untuk tidur. Sedangkan masa yang ada itu boleh digunakan sepenuhnya untuk siri jelajah dan merahami orang-orang yang kami kunjungi,” jelas Farid. Dari situasi seperti inilah timbul idea untuk membina sebuah campervan bagi kegunaan keluarganya.

Nissan Urvan 1982 <em>campervan</em> – kembara keluarga, angkut 500 kg beras lalu Titiwangsa; semua bisa diatur

Untuk mencapai tujuan itu, sebagai seorang individu yang terlibat dalam bidang kreatif rekaan dalaman (interior design), membeli sebuah caravan atau van yang telah siap untuk menjalankan peranan itu bukanlah satu pilihan. Ia sebuah projek yang dimulakan untuk menyelesaikan masalah, tetapi dalam masa yang sama perlulah memberikan kepuasan terhadap diri sendiri dalam konteks kreativiti.

Maka, empat tahun lalu Farid membeli sebuah van besar untuk dijadikan kenderaan sekaligus tempat tidur mereka ketika dalam perjalanan. Nissan Urvan 2.0L petrol tahun 1982 ini yang menjadi pilihannya. “Satu sebab kenapa saya pilih model ini ialah kerana pintu sliding memang dah ada siap-siap di kedua-dua belah sisi,” jelas Farid tentang van lama yang dibelinya dengan harga sekitar RM12,000. Ketika itu, van berada dalam keadaan yang agak teruk.

“Dari segi mekanikal, saya tak ubah banyak. Sebab enjin Nissan standard yang sedia ada itu memang tahan lasak dan kuat. Jadi, saya hanya lakukan kerja-kerja ubah suai praktikaliti dan estetika sahaja untuk membolehkannya menepati citarasa, keselesaan dan keperluan kami sekeluarga ketika dalam perjalanan,” tambah beliau.

Nissan Urvan 1982 <em>campervan</em> – kembara keluarga, angkut 500 kg beras lalu Titiwangsa; semua bisa diatur

Menggambarkan ketahanan enjin ini, beliau pernah melalui jalan mendaki Banjaran Titiwangsa menuju Jeli dengan beras sebanyak 500 kg sebagai beban. “Tak ada masalah, cukup tenaga nak bawak semua beras berkenaan,” ujarnya. Sejak awal lagi, nasib bersama van ini memang direncanakan untuk kegunaan perjalanan jauh.

Ia dibeli di Johor, kemudiannya di bawa ke Jitra tempat beliau menetap untuk menjalani kerja-kerja pembikinan semula dan selepas itu, Nissan Urvan miliknya ini tak pernah mengecewakan ketika membawa Farid sekeluarga pusing satu Malaysia. “Laluan 1,000 Corner di Siam pun kami dah pernah lalu, tanpa apa-apa masalah dengan campervan saya ini,” jelasnya dengan nada bangga.

Dari luar, Urvan ini nampak minimal dengan dekorasi retro. Tempat duduk juga kekal seperti asal sekiranya van ini dalam perjalanan ke mana-mana – dengan dua barisan tempat duduk di belakang. Hanya ketika ia diparkir untuk bermalam, atau berehat statik di mana-mana, barulah fungsi sebenarnya van ini akan terserlah. “Saya bekerja sebagai pereka dalaman untuk rumah kediaman, jadi perkara yang sama saya terjemahkan ketika ingin membuat rekaan ruang kabin pada campervan ini,” tambah Farid.

Nissan Urvan 1982 <em>campervan</em> – kembara keluarga, angkut 500 kg beras lalu Titiwangsa; semua bisa diatur

Untuk mengangkut barangan, raga besi besar ada terletak di atas bumbung. Kedudukan kerusi di dalam boleh dialihkan, tujuannya untuk memberi ruang “katil” rata dibentangkan. Satu kabinet kayu untuk barangan dapur yang boleh dilanjutkan sebagai meja makan turut tersedia – termasuk sinki basah. Dan, untuk keperluan air, satu tong bekalan air akan dibawa sendiri ke mana-mana untuk kegunaan mereka. Tangki ini menggunakan pam racun dengan bateri untuk menyalurkan air, dengan bateri berkenaan boleh bertahan selama empat hari untuk satu cas penuh.

Di bahagian luar pula, bumbung khemah mudah alih digunakan untuk menjadi pelindung daripada matahari atau hujan. Sekiranya perlu ruang yang lebih privacy, misalnya untuk menyalin pakaian atau mandi, bahagian sebelah kiri van ini direka dengan sebuah bilik kecil menggunakan tirai tebal untuk tujuan itu. Di bahagian panel pintu di belakang juga dipasangkan rak khusus untuk membawa basikal lipat – diikat dan disimpan dengan kemas dan teguh.

“Jadi, semua hal berkaitan keperluan pada van ini saya yang reka sendiri. Kiranya, saya nak buat sebuah rumah yang selesa dalam van ini. Tapi, hanya ketika van ini diparkir, baru orang akan dapat tengok semua kelengkapan rumah yang ada. Masa bergerak, ia nampak macam van biasa saja,” jelas Farid. Selain selalu ikut serta dengan kelompok kerja amal, beliau juga sering mengembara secara solo dengan van ini – tanpa rakan-rakan, tanpa konvoi kelab dan sebagainya. Hanya dia seorang – atau mungkin disertai keluarga kecilnya – menjelajah ke serata tempat bersendirian dengan campervan ini.

Nissan Urvan 1982 <em>campervan</em> – kembara keluarga, angkut 500 kg beras lalu Titiwangsa; semua bisa diatur

Tentang kos restorasi Nissan Urvan ini, beliau memaklumkan yang belanja yang dihabiskan untuk van ini tidaklah terlalu mahal. “Termasuk kos membeli van ini dulu, keseluruhannya saya menghabiskan lebih kurang RM30,000 untuk jadikannya seperti yang ada sekarang. Bandingkan kos ini dengan kos kalau kita beli motorhome yang sebenar, ia memang jauh lagi murah,” jelasnya.

Adakah keghairahan dengan campervan ini sudah dipenuhi dengan Nissan Urvan ini? Menurut Farid, tidak. Dia ketika ini sedang memasang angan untuk membangunkan sebuah lagi campervan dengan saiz yang lebih besar. “Walaupun masih terlalu awal untuk nyatakan, satu lagi projek campervan yang saya teringin nak buat nanti ialah untuk membangunkan semula Mercedes-Benz Sprinter tahun 1991,” ujarnya.

Menarik tentang Farid ini ialah kerana beliau menggunakan kreativiti sendiri untuk mendapatkan hasil seperti yang diinginkan, tentunya dengan kos yang tidak terlalu tinggi. Untuk pengalaman yang ada disepanjang perjalanan ke destinasi mana pun, kita sebenarnya hanya memerlukan hal-hal yang sederhana saja untuk menikmati semua itu. Harap projek seterusnya akan jadi lebih menarik dan bermakna untuk beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required