Honda telah mendedahkan model generasi kedua N-WGN, yang akan mula dijual di Jepun 9 Ogos ini. Model yang berlampu bulat adalah varian biasa manakala yang berlampu petak pula adalah versi lebih sport yang menggunakan lencana Custom.

Seperti yang anda boleh lihat, penampilan N-WGN generasi baru ini lebih ringkas dan bersih, manakala lampu belakangnya menggunakan unit menegak yang garisannya disepadukan dengan pintu but. Selain muka hadapan yang berbeza, model Custom juga mendapat unit lampu jenis LED, bampar lebih sporty, gril berbeza serta bahagian dalam yang dibalut dengan kemasan hitam dan titanium. Model biasa menggunakan balutan coklat dan ivory.

Sama seperti luar, bahagian dalam juga ringkas dan kemas, dengan terdapat banyak ruang untuk meletak barangan serta soket USB yang mudah dicapai. Malah, di bawah tempat duduk belakang juga terdapat lagi ruang untuk meletak barangan. Buat kali pertamanya bagi kereta kei Honda, ia dipasang dengan stereng yang boleh dilaras atas-bawah dan depan-belakang, serta brek parkir elektronik dengan ciri Auto Brake Hold.

N-WGN ini menggunakan asas daripada N-Box, menampilkan lantai yang rendah dan tangki bahan api di bahagian tengah kenderaan, sekaligus memberikan lebih ruang kepada penumpang. Untuk model generasi baru, lantai bahagian tepi kenderaan direndahkan lagi, bersama kedudukan tempat duduk yang diubah supaya penumpang dapat keluar dan masuk dengan mudah. Begitu juga dengan bahagian lantai kargo.

Selain daripada itu, Honda turut memberikan papan kargo supaya pengguna boleh membahagikan barangan mereka kepada dua tingkat, menggunakan ia sebagai permukaan rata apabila tempat duduk dilipat ataupun meletakkannya di belakang tempat duduk belakang untuk memegang barang yang tinggi.

Pada aspek keselamatan, N-WGN dilengkapi dengan pakej Honda Sensing secara standard, yang termasuk Pedestrian Collision Mitigation Steering, Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow, Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan pengesan basikal, Lead Car Departure Notification System, False Start Prevention, pengesan tanda jalan dan lampu tinggi automatik.

N-WGN generasi baru masih lagi menggunakan enjin tiga silinder petrol 658 cc yang mampu menghasilkan kuasa 58 hp pada 7,300 rpm dan 65 Nm tork pada 4,800 rpm untuk versi NA, manakala versi turbo berkemampuan 64 hp pada 6,000 rpm dan 104 Nm tork pada 2,600 rpm. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear CVT, dengan pilihan pacuan roda hadapan ataupun empat roda.