Givi Rimba Raid 2019 – tahap kesukaran bukan untuk orang biasa, pelumba tempatan kuasai podium

Givi Rimba Raid 2019 – tahap kesukaran bukan untuk orang biasa, pelumba tempatan kuasai podium

Rimba Raid sekarang sudah menjadi satu acara tahunan dan hujung minggu lalu ia berlangsung di Janda Baik, Pahang untuk musim 2019. Bagi yang tidak pernah mendengar tentang acara ini, ia adalah satu perlumbaan offroad bagi motosikal jenis adventure/dual purpose, dengan kali ini menarik penyertaan 150 pelumba dari 16 negara.

Mereka dibahagikan kepada tiga kelas iaitu A, B dan C bergantung kepada jenis motosikal dan kapasiti enjinnya. Antara jentera yang digunakan dalam kelas A adalah seperti BMW R1200 GS, Africa Twin 1000, KTM Adventure 1290, Triumph Tiger 800 dan Yamaha Tenere 1200 manakala dalam kelas B terdapat model seperti KTM Enduro 690 serta Husqvarna 701, dan kelas C melibatkan saingan jentera seperti Honda CRF250L, Kawasaki KLX250, Benelli TRK 502 dan Kawasaki Versys 650.

Tahun ini jarak perlumbaan adalah lebih pendek, iaitu tidak sampai 60 km, berbanding lebih 120 km pada tahun lepas. Walaupun begitu, ia tidak bermakna akan menjadi lebih mudah bagi pelumba dan semasa penerangan tentang laluannya, cabaran yang diberitahu sudah cukup untuk membuat peserta gentar.

Memang benar, kerana daripada 150 peserta yang terlibat dalam perlumbaan, hanya 47 berjaya menamatkan keseluruhan laluan manakala yang lain sama ada menyerah kalah ataupun motosikal rosak. Acara ini menarik kerana memberi peluang kepada pemilik jentera adventure/dual purpose untuk berlumba dan merupakan antara yang terbesar dalam Asia.

Kami sendiri masuk ke dalam laluan perlumbaan untuk membuat liputan menggunakan Kawasaki KLX150L, dan apa yang boleh dikatakan, cabaran yang tersedia bukanlah untuk calang-calang orang. Kelasakan jentera sudah tentu diuji, tetapi yang lebih penting adalah kemampuan pelumba itu sendiri, dari aspek fizikal, mental dan kecekapan pengendalian jentera.

Separuh pertama laluan mungkin boleh dianggap ‘mudah’ kerana melibatkan jalan yang luas dan permukaan batu kerikil tetapi itu pun sudah ‘memakan’ beberapa peserta kerana turut melalui jalan yang berlumpur akibat hujan sedikit pada malam sebelumnya dan dakian bukit yang tinggi.

Givi Rimba Raid 2019 – tahap kesukaran bukan untuk orang biasa, pelumba tempatan kuasai podium

Masuk ke bahagian kedua, tahap kesukarannya bertambah lagi satu kali ganda dengan lintasan sungai dan dakian bukit dengan permukaan yang terbelah kerana laluan air. Sampai ke tahap ini, kami melihat lebih ramai yang sangkut. Ada yang kepenatan, ada yang jentera mereka mengalami kerosakan seperti klac yang habis dan tidak boleh hidup akibat sudah tenggelam dalam air, dan ada yang sekadar membuat keputusan untuk menikmati keindahan alam serta bersantai.

Untuk pengetahun anda, ada antara laluan dalam Rimba Raid 2019 ini hanya dibuka khas untuk acara kali ini sahaja selepas mendapat kelulusan daripada pihak yang berkuasa. Ia sama ada jalan yang sudah lama tidak dilalui ataupun dibuat khas sebagai penyambung antara satu laluan ke laluan yang lain. Jadi, keadaannya sangat cantik dan asli, dan peserta sentiasa diingatkan untuk tidak meninggalkan sebarang sampah. Malah, peraturan perlumbaan juga dibuat dengan memikirkan perkara itu seperti melarang penggunaan ‘tear off‘ pada goggle.

Bahagian terakhir perlumbaan ini adalah yang paling susah. Pengasas Rimba Raid, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain memanggilnya sebagai ‘Green Hell’ dan memang benar, ia ‘memakan’ lebih banyak mangsa yang tidak cukup kental. Cuba anda bayangkan, kami yang menunggang motosikal kecil dan ringan juga sudah berfikir dua kali untuk melepasi cabaran itu, apatah lagi mereka yang membawa jentera dengan berat lebih 200 kg.

Rimba Raid memilih pemenang berdasarkan catatan masa, dan setiap jentera peserta dipasang dengan unit transponder untuk merekodkan masa mereka di setiap pos pemeriksaan (checkpoint). Pada awalnya penganjur menjangkakan peserta paling pantas akan tiba di garisan penamat dalam masa dua jam setengah, tapi mereka sendiri diberikan kejutan.

Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih mesra dipanggil sebagai Gabit yang berlumba dalam kelas A menggunakan jentera KTM Adventure 1050 melengkapkan keseluruhan perlumbaan dalam masa cuma 48 minit 40 saat, diikuti oleh Wong Chun Hing dengan catatan 50 minit 37 saat dan satu jam 19 minit 16 saat oleh Wong Chun Fah.

Kelas B pula menyaksikan Shamsul Azhar Abu Hazim mencatat masa terpantas satu jam empat minit 31 saat, diikuti oleh Wan Nor Fahmy Wan Nashar di tempat kedua dan Iskandar Rabu di tempat ketiga dengan catatan masa masing-masing satu jam 12 minit 44 saat dan satu jam 36 minit 56 saat.

Dalam kelas C, dua beradik Muhammad Hazlami Mustapha Kamal dan Muhammad Hazzim Mustapha Kamal mendominasi tempat teratas dengan catatan masa masing-masing 56 minit 55 saat dan 57 minit 28 saat manakala di tempat ketiga adalah Muhamat Hairy Muhamat Omar Zuki, dengan masa 59 minit 09 saat.

Apa yang menariknya di sini, tempat tiga teratas dalam semua kelas dimenangi oleh pelumba tempatan sedangkan acara ini melibatkan penyertaan daripada 16 negara termasuk pelumba factory Rali Dakar dari Chile, Jeremias Israel (tidak menamatkan perlumbaan). Dari Thailand pula, 20 pelumba terbaik dipilih berdasarkan cabaran saringan yang dibuat oleh mereka di sana.

Dari pandangan kami, Rimba Raid akan menjadi lebih besar dan terkenal di mata dunia, dan diharapkan pelumba tempatan dapat terus memberikan komitmen terbaik untuk memastikan gelaran juara kekal dalam tangan. Sekarang sahaja mereka sudah membuktikan mereka boleh bersaing sama taraf dengan pelumba antarabangsa.

Selain daripada penganjur, kami juga mahu memberi pujian kepada para petugas terutamanya yang bersedia di laluan mencabar. Selepas pelumba-pelumba hebat lepas, mereka tidak henti-henti membantu peserta lain di dalam hutan bagi memastikan mereka dapat keluar. Menarik dan mengangkat motosikal adventure besar dalam suasana begini bukanlah kerja yang mudah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required