Tan Chong Motor Holdings telah menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) dengan pengeluar kenderaan dari China, SAIC Motor untuk meneroka kerjasama did alam pemasangan, jualan, mengimport dan mengedarkan kenderaan di pasaran Vietnam, lapor The Star.

Bagaimanapun, tidak didedahkan dengan jenama mana di bawah kumpulan itu yang akan menjalinkan kerjasama dengan Tan Chong. Untuk rekod, SAIC menaungi jenama-jenama antaranya seperti Maxus, MG dan Roewe. Tan Chong dilaporkan berkata, cadangan projek berkenaan sekiranya berjaya menjadi kenyataan, akan membuka peluang kepada syarikat itu untuk memperluaskan jejaknya di dalam industri automotif Vietnam.

Tan Chong memiliki kilang pemasangan automotif di Vietnam dan Myanmar, dan turut mengedarkan kenderaan penumpang dan komersial di Laos dan Kemboja. Syarikat itu bagaimanapun akan memberhentikan aktiviti berkaitan Nissan di Vietnam bermula September.

Pada Disember tahun lalu, dilaporkan bahawa Nissan akan menamatkan perjanjian usaha sama dengan anak syarikat Tan Chong, ETCM (V) dengan syarikat ini kehilangan hak untuk mengimport dan mengedarkan kenderaan Nissan dan alat gantinya ke Vietnam bermula 10 September nanti.

Syarikat itu juga memasang kenderaan Nissan di Myanmar. Pada 2016, dilaporkan ia akan memasang model Almera (dikenali sebagai Sunny di pasaran itu) di kilang sedia ada, tetapi dijangka untuk memlanjutkan pemasangan itu dengan beralih kepada kemudahan 50 ekar di Bago, yang terletak 80 km di timur-laut Yangon pada 2018.