Cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuhraya bernilai RM6.2 bilion yang dinyatakan sebelum ini ditangguhkan sementara untuk penilaian semula terhadap harga yang ditawarkan, menurut sumber kerajaan. Straits Times (ST), melalui Malay Mail, melaporkan sebahagian daripada pegawai kerajaan pusat termasuk ahli kabinet merasakan jumlah itu berlebihan.

Sesetengah pihak menyatakan, anggaran kutipan oleh Kementerian Kewangan, ditambah pula dengan kutipan caj kesesakan, mungkin tidak akan membolehkan pengambilalihan itu mendanai tindakan tersebut sendiri, seperti yang dibentangkan kini. “Semua perkara berkaitan (cadangan Gamuda) ditangguh sementara untuk penilaian semula,” akhbar ST memetik seorang menteri yang namanya tidak didedahkan.

Menteri yang sama juga mengatakan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah memaklumkan rancangan berkenaan kepada umum dan membuat tawaran kepada pemegang konsesi tanpa mendapat persetujuan kabinet. Gamuda, yang kemudiannya bersetuju dengan tawaran tersebut juga merupakan pelopor bagi projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion – yang mana terdahulu Lim Guan Eng merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kaitan itu menimpulkan kecurigaan dalam kalangan pengkritik yang merasakan kedua-duanya isu berkenaan saling berkait. Laporan berkenaan turut menyebut seorang pemimpin DAP yang tidak dinamakan turut mengesahkan “penentangan” yang berlaku secara dalaman itu. “Menteri Kewangan merasakan cadangan itu bernas, tetapi ia telah menjadi sebaliknya,” ujarnya.

Jun lalu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) telah menawarkan pengambilalihan pengendalian terhadap empat lebuhraya di Lembah Klang dengan nilai RM6.2 bilion. Empat syarikat konsesi lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

“Cadangan kos pengambilalihan berjumlah RM6.2 bilion akan dibiayai menerusi terbitan bon yang akan dibayar balik sepenuhnya dan dibayar daripada pungutan caj kesesakan. Ini berbanding kos pampasan RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut,” jelas Lim dalam satu kenyataan Jun lalu.