Yamaha YZF-R25 2019 ini mula sekali dipertontonkan pada Januari lalu, sebelum dilancarkan dengan pengumuman harga rasmi RM19,988 pada bulan Mac 2019. Model baru ini membawakan penampilan yang lebih segar, mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip yang ada pada model R1.

Ciri aerodinamik juga diperbaiki, membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j berbanding versi sebelumnya). Lampu depan dan belakang motosikal ini juga beralih menggunakan unit LED.

Enjin yang digunakan tiada perubahan berbanding model sebelum ini, dan masih menggunakan unit dua-silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair, serta kotak gear enam-kelajuan yang sama dengan janaan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

Peningkatan yang lebih ketara adalah pada bahagian suspensi; R25 baru ini menggunakan fork terbalik berwarna emas di hadapan, manakala di belakang jenis monoshock yang ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

Reka bentuk tangki dengan kapasiti 14 liter juga telah diubah. Semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal yang lebih memuaskan. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh, lengkap dengan lampu shift light.

Untuk pasaran Malaysia, ia bagaimanapun tidak dilengkapi ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Jika anda sedang mempertimbangkan motosikal 250 cc, adakah R25 baru ini termasuk dalam senarai?