Tiada yang menghairankan jika anda lihat orang dewasa terbongkok-bongkok membelek kad-kad kereta die-cast Hot Wheels di pasaraya-pasaraya, kerana hobi mengumpul kereta mainan tiga-inci ini boleh dikatakan sudah dikategorikan sebagai mainstream buat masa sekarang, sebaris dengan hobi-hobi lain seperti fotografi mahupun memancing.

Lihat sahaja dengan sesi-sesi TT yang dijalankan saban minggu di Lembah Klang seperti TT ‘Lebai Dolah’ di Shah Alam dan TT JAM di Restoran Jamal Mohamed di belakang Wisma FAM (tidak lagi diadakan kerana pelbagai masalah), betapa ramainya orang dewasa bersesak-sesak di kawasan sempit hanya kerana kereta mainan kecil ini.

Namun tahukah anda siapa pengumpul Hot Wheels paling banyak di Malaysia buat masa sekarang? Individu berkenaan bukanlah remaja mahupun belia, tetapi seorang ‘Uncle’ bernama Chia Joon Hock yang kini berumur 65-tahun!

Nak tahu berapa banyak kereta Hot Wheels yang telah Uncle Chia kumpul? Bukan seribu-dua, tapi kini telah mencecah lebih dari 10,000 buah! Bagi menyimpan kesemua kereta tersebut, Uncle Chia telah menyewa sebuah rumah hanya untuk menyimpan kesemua koleksinya ini.

Setiap pengumpul Hot Wheels ada cerita tersendiri bagaimana mereka mula terjebak dengan hobi ini – antaranya adalah untuk mengenang zaman kanak-kanak, dan ada juga bermula hanya kerana terikut-ikut dengan kawan. Bagi Uncle Chia pula, semua ini bermula pada tahun 2003 setelah menerima hadiah dari abangnya berupa sebuah Ferrari dalam skala 1:18.

Model itu diletakkan di atas meja dan dia kemudian mula obses dengan setiap perincian replika Ferrari tersebut. Selepas itu, Uncle Chia mula ‘memburu’ model-model kereta kecil di kedai-kedai 7-11, dan kemudian dia mula terjebak untuk membeli Hot Wheels di ‘syurga hobi’, Amcorp Mall Petaling Jaya setiap hujung minggu.

Cerita berkenaan Uncle Chia ini sebenarnya telah pun sampai ke ibu pejabat Hot Wheels di Amerika Syarikat. Jadi, selepas memenuhi undangan ke Art of Speed (AOS) 2019 bagi mendedahkan koleksi Japan Historic 3 hujung bulan lalu, Ketua Pereka Hotwheels (segmen premium dan pengumpul) Steve “Van” Vandervate turut mengambil kesempatan sementara berada di Malaysia untuk bertemu sendiri dengan Uncle Chia.

Buat masa sekarang, keseluruhan koleksi Uncle Chia ini dianggarkan bernilai sekitar RM200,000 hingga RM300,000. Menurutnya, lebih RM100,000 telah dibelanjakan bagi mendapatkan model-model Hot Wheels tersebut, bukan sahaja dibeli dari penjual tempatan, malah turut diperolehi dari seluruh dunia – dari Indonesia, Jepun dan Amerika sendiri.

Dari kesemua koleksi tersebut, model yang paling bernilai adalah Nissan Skyline R32 dari koleksi Sweet Rods Premium Series untuk pasaran Jepun yang kini bernilai RM800 – ya, untuk sebuah Hot Wheels dengan saiz tiga-inci dan bukan model lebih terperinci dengan skala lebih besar.

Obsesnya Uncle Chia dengan Hot Wheels boleh digambarkan bagaimana dia boleh membezakan setiap unit kereta kecil tersebut berdasarkan perbezaan variasi kecil seperti rekaan pada rim, tayar dan juga bonet.

Ditanya kenapa beliau begitu meminati Hot Wheels, Uncle Chia tidak mampu menggambarkannya dengan kata-kata. “Minat. Hanya itu perkataannya. Saya suka semuanya berkenaan model-model ini. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk duduk dan memerhatinya. Saya sangat sayang semuanya dan tidak akan memilih mana satu yang paling disukai. Setiap kali saya ambil satu, saya tak sedar terus ambil yang lain, lepas itu yang lain, dan yang lain!” katanya.

“Koleksi ini… hobi… membuatkan saya rasa muda! Ia membuatkan saya mengenali ramai kawan setiap tahun, dari setiap peringkat umur. Kanak-kanak… dewasa… kami semua bersama-sama jatuh cinta dengan Hot Wheels!” kata Uncle Chia lagi