GALERI: MINI 60 Years Edition – varian Cooper S 3 Door Hatchback, terhad 60 unit sahaja, RM256k

GALERI: MINI 60 Years Edition – varian Cooper S 3 Door Hatchback, terhad 60 unit sahaja, RM256k

Pada 13 Ogos lalu, MINI Malaysia telah melancarkan model MINI 60 Years Edition, yang dihadirkan dengan satu varian sahaja iaitu Cooper S 3 Door Hatchback. Ia adalah sempena dengan ulangtahun mereka yang ke-60 dan oleh itu, hanya 60 unit MINI 60 Years Edition sahaja yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Jadi, sesiapa yang berminat, kenalah pantas untuk mendapatkannya. Harganya bermula RM255,888 (lebih RM6,000 berbanding model standard Cooper S 3 Door), tanpa insurans.

Apa yang menarik tentang MINI 60 Years Edition ini? Ia hadir dengan dua pilihan warna luaran iaitu British Racing Green– warna khas untuk model ini – bersama bumbung dan perumah cermin sisi berwarna Pepper White. Satu lagi pilihan warna ialah Melting Silver yang dipadankan bersama bumbung serta perumah cermin sisi dengan tona Jet Black.

Selain itu, kalau dah nama pun edisi terhad, mesti ada lagi ciri unik yang ditampilkan. MINI 60 Years Edition ini turut didatangkan dengan jaluran berwarna hitam di atas bonet dengan pinstripe Aspen White dan British Oak, serta lencana ’60 tahun’ pada sirip udara di tepi. Bukan itu sahaja, lampu yang terdapat pada cermin sisi boleh memantulkan logo ’60 tahun’ kepada permukaan lantai.

GALERI: MINI 60 Years Edition – varian Cooper S 3 Door Hatchback, terhad 60 unit sahaja, RM256k

Bagi ciri lain, ia juga hadir dengan pakej 60 Years Chili yang merangkumi sistem LED untuk lampu utama, lampu kabus, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang. Selain itu, ia juga dipadankan dengan rim istimewa dua-tona 17-inci.

Di dalamnya pula, ia menggunakan balutan kulit Dark Maroon dengan jahitan kontras berwarna hijau, serta beberapa lagi lencana dan tanda 60 tahun di bahagian lain seperti tepi tempat duduk, tepi pintu dan roda stereng.

Ciri lain termasuklah skrin sesentuh 6.5-inci, kawalan pendingin hawa automatik, sambungan Apple CarPlay, kamera pandangan belakang, pengesan jarak depan dan belakang, kawalan kelajuan dengan fungsi membrek, Performance Control, Comfort Access serta pakej MINI Excitement yang termasuk lampu ambien pilihan 12 warna.

Walau bagaimana pun, model edisi terhad ini masih kekal menggunakan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 192 hp dan tork 280 Nm serta dipadankan dengan transmisi DCT Steptronic tujuh-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.7 saat manakala laju maksimum pula adalah 235 km/j.

Bersempena dengan sambutan ulang tahunnya juga, mereka yang membeli model edisi khas ini dari sekarang hingga 31 Ogos 2019 akan menerima perlindungan di bawah program 60 Months MINI Service + Repair Inclusive.

Ini memberikan pemilik servis berkala percuma selama 60 bulan atau 80,000 km (yang mana tiba dahulu) dan jaminan 60 bulan tanpa had batuan. Jika anda membeli selepas 31 Ogos, ia cuma datang dengan jaminan dan servis berkala percuma selama empat tahun tanpa had perbatuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required