Proton kian melangkah lebih agresif termasuk memantapkan lagi bahagian perkhidmatan selepas jualan bagi memenuhi permintaan dan kehendak para pelanggannya. Terkini, sebuah pusat 3S telah dilancarkan dengan memilih Seremban sebagai lokasi.

Dikendalikan oleh Ultra Gallant Sdn Bhd, cawangan baharu ini menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat-alat ganti untuk semua jenis kereta Proton. Dengan pelaburan kira-kira RM4 juta, cawangan ini juga mempunyai keluasan lebih daripada 20,000 kaki yang meliputi 1.15 ekar, menjadikannya salah satu pusat 3S Proton terbesar di Negeri Sembilan.

Menampilkan bangunan baharu dengan warna Identiti Korporat Proton memberikan suasana yang segar serta turut dilengkapi kemudahan lain seperti WiFi percuma dan ruang kanak-kanak yang akan menambah keselesaan kepada pelanggan.

Menurut Khoo Kim Hong, Pengarah Urusan Ultra Gallant Sdn Bhd, “Melabur dalam perniagaan Proton adalah keputusan yang tepat. Melalui pelancaran produk-produk baharu serta pertambahan pusat sehenti untuk memenuhi keperluan pelanggan, inisiatif yang diambil oleh Proton ini memberikan hasil yang memuaskan. Kami berharap dengan cawangan baharu ini kami dapat menyumbang ke arah misi Proton untuk terus memperoleh pegangan pasaran yang lebih besar”.

Dengan pembukaan cawangan baharu ini di Seremban, Proton kekal mendahului dengan mempunyai cawangan 3S/4S terbanyak berbanding jenama automotif lain. Kini, Proton telah memiliki 100 cawangan yang telah dipertingkat beroperasi di seluruh negara.

“Apa yang telah kami capai adalah hasil kerja keras, dedikasi dan komitmen oleh seluruh keluarga Proton iaitu dari pembekal, pengedar dan warga kerja di syarikat. Dari peringkat awal lagi, kami percaya bahawa untuk maju, kami memerlukan jumlah cawangan yang mencukupi, produk yang baik, teknologi yang hebat dalam kereta dan pekerja yang mampu untuk mencapai matlamat syarikat.

“Malahan jualan syarikat telah melonjak naik dan kami berjaya menduduki semula tempat kedua sejak April tahun ini. Jumlah jualan bagi akhir bulan Julai mencecah 52,269 unit berbanding 35,561 dalam tempoh sama tahun lepas, bersamaan kenaikan sebanyak 47% bagi keseluruhan jualan tahun ke tahun,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.