fznor_soft

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengorak langkah lebih agresif dengan memulakan pasaran eksport untuk Filipina. Dengan menggunakan fasiliti kilang pemasangannya yang terletak di Pekan, Pahang, MBM memulakan fasa pertama penghantaran model C 180 Avantgarde Line, ke negara berkenaan pada bulan ini.

Walau pun kilang Mercedes-Benz bagi unit pemasangan tempatan (CKD) di Pekan ini lebih menumpukan perhatian bagi unit pemanduan sebelah kanan (RHD), namun menariknya, untuk pasaran Filipina, ia memerlukan MBM mengeksport unit pemanduan sebelah kiri (LHD). Walau bagaimana pun, dengan penambahan fasiliti baharu di kilang ini yang dilengkapi dengan teknologi termaju, membolehkan MBM meneruskan hasrat untuk menerokai pasaran eksport.

Menurut Dr. Claus Weidner, presiden dan CEO MBM, Filipina dipilih untuk menjadi pasaran eksport pertama bagi unit LHD dari MBM untuk ASEAN kerana negara berkenaan dilihat kini memiliki pasaran yang kian berkembang untuk segmen kereta premium. Malah MBM memang ada perancangan untuk meluaskan pasaran eksportnya ke negara lain, namun demikian masih belum memutuskan destinasinya. Ia juga bergantung pada beberapa faktor, termasuk aspek kelayakannya.

Ketika ditanya mengapa C 180 Avantgarde Line yang dijadikan pilihan untuk dieksport ke Filipina, beliau menjawab, “Untuk pasaran eksport, kita perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh negara berkenaan. Filipina bukanlah negara yang mempunyai piawaian yang sangat ketat, dan model C 180 sesuai dijadikan pilihan kerana spesifikasinya yang agak asas, dan hanya melibatkan satu varian sahaja untuk ke sana.

“Dengan usaha sebegini, kita mampu membantu melonjakkan lagi industri automotif di Malaysia. Dalam masa yang sama, juga membantu pengeluar komponen buatan tempatan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.”

Berkaitan dengan jumlah unit C 180 yang dieksport ke Filipina, perkara ini tidak didedahkan oleh MBM. Walau bagaimana pun, menurut timbalan presiden jualan dan pemasaran MBM, Michael Jopp, jumlahnya mungkin tidak sampai seribu unit.

C 180 Avantgarde dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.6 liter turbo dengan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan 250 Nm tork antara 1,200 dan 4,000 rpm. Ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat sahaja, sedikit perlahan berbanding C 200 dengan 2.0 liter turbo (184 hp/300 Nm), yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat.

Antara ciri yang ditampilkan ialah kemasan luaran Avantgarde Line, roda aloi 5-twin spoke 17-inci, lampu utama High Performance LED, kulit ARTICO, kemasan aluminium untuk dalam, pencahayaan ambien, Bantuan Brek Aktif, paparan media 10.25-inci, kluster instrumen 12.3-inci serta ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

GALERI: Mercedes-Benz C 180 Avantgarde W205 spesifikasi Malaysia