Setelah banyak jenama yang mencatatkan penurunan jualan sepanjang Jun 2019, statistik untuk bulan Julai seakan membawakan sedikit kelegaan kepada pengeluar-pengeluar kenderaan untuk pasaran tempatan; banyak jenama utama yang memperlihatkan peningkatan semula terhadap jumlah jualan masing-masing.

Di tempat pertama, Perodua mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 24.2% atau bersamaan angka 19,924 unit. Lebih menarik sebenarnya ialah perkembangan di tempat kedua; Proton masih kekal di situ sejak beberapa bulan sebelum ini, tetapi kali ini Proton telah merampas tempat kedua keseluruhan sekali, setakat ini. Proton mencatatkan kenaikan 12.8% untuk Julai 2019, atau 8,590 unit manakala secara keseluruhan setakat ini telah berjaya mencatatkan jualan 52,108 unit.

Honda yang berada ditempat ketiga pula menyaksikan peningkatan yang agak ketara, iaitu sebanyak 39.9%, iaitu 7,534 unit. Bagaimanapun, untuk angka keseluruhan setakat ini, Honda dengan angka 51,794 unit telahpun dipintas oleh Proton – Honda kini jatuh ke tempat ketiga keseluruhan. Tiga lagi jenama utama pengeluar Jepun masing-masing mencatatkan pertumbuhan; Toyota (+8.4%), Nissan (+33%) dan Mazda (+22.5%).

Lain-lain jenama seperti Ford juga memperlihatkan pertumbuhan sebanyak 52.4% (menjadi 503 unit) dan Subaru dengan peningkatan 21.2% (menjadi 234 unit). Bagaimanapun, Volkswagen tidak berkongsi nasib sama selepas mencatatkan penurunan sebanyak 25.9%, begitu juga dengan Kia yang menyusut 13.9% serta Renault yang menurun 86.4%. Bagi Renault, bulan Jun menampakkan peningkatan drastik kerena disumbangkan oleh program langganan kenderaan yang diperkenalkan; kini reaksi pasarannya kembali kepada normal.

Bagi jenama premium pula, BMW terus mendahului walaupun mencatatkan penurunan 1.1% jualannya pada Julai. Ini diikuti oleh Mercedes-Benz (+8.7%), Volvo (+9%), Mini (+22.2%) dan Lexus (+4.8%). Jenama sportscar ternama,Porsche pula mencatatkan peningkatan jualan yang luar biasa, dengan kenaikan 266.7%, dengan jualan 77 unit untuk bulan lalu.