Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), bekerjasama dengan pengedar yang sah, Lofty Ambition Sdn Bhd, bagi membuka pusat 3S baharu dengan memilih Setiawan, Perak, sebagai lokasi. Ini merupakan bilik pameran Mitsubishi yang ketiga yang dikendalikan oleh Lofty Ambition di negeri berkenaan, selain di Ipoh dan Taiping yang telah beroperasi sebelum ini.

Malahan Pusat 3S Mitsubishi Setiawan ini menjadi bilik pameran pertama di bahagian utara yang ditampilkan dengan jenama korporat baharu yang diwakili tagline global ‘Drive Your Ambition’.

“Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition merupakan rakan perniagaan sejak 2014. Dalam masa yang singkat, Lofty Ambition telah berkembang pesat dan memperkukuhkan jenama Mitsubishi di Perak. Malah pembukaan bilik pameran ketiga Mitsubishi di negeri ini membuktikan komitmen dan kerja keras Lofty Ambition terhadap jenama ini,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

Terletak di No. 1, Jalan Medan Serdang 1, Medan Serdang, 32000 Sitiawan, Perak, pusat 3S ini turut menempatkan ruang menunggu bagi pelanggan dan juga bengkel yang lengkap dengan perkakasan berteknologi moden termasuklah Special Set Tools (SST) untuk menyelenggara kenderaan Mitsubishi.

Buat masa ini, MMM telah mempunyai 52 bilik pameran dengan 47 daripadanya adalah pusat 3S dan 54 pusat servis di seluruh Malaysia. Untuk Malaysia Timur, MMM memiliki 15 bilik pameran dengan tujuh daripadanya berada di Sarawak dan lapan pula di Sabah.