Selamat Hari Merdeka! Dikesempatan ini, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengimbau kembali apa yang telah kita capai sepanjang 62 tahun ini – dari hal berkaitan automotif, tentunya. Sebagai sebuah negara, kemajmukan budaya antara kaum antara perkara yang perlu kita semai dan pertahankan, untuk meraikan kepelbagaian. Tetapi, pertanyaan lain yang tak kalah menarik untuk diajukan adalah ini; apakah sebenarnya kereta Malaysia?

Bagi kami, kereta Malaysia perlulah “menyentuh” pengalaman dan perjalanan kita sebagai sebuah warga negara yang bebas, baik bagi yang tua atau muda. Tapi, adakah ia perlu dihadkan kepada kereta dari jenama tempatan sahaja? Bagaimana dengan kereta dari jenama luar yang telah bertapak lama sepanjang sejarah kewujudan Malaysia? Jadi, untuk itu, kami bawakan senarai sepuluh kereta atau kenderaan yang paling “Malaysia”.

10. Perodua Kancil

Ini mungkin sebuah kereta yang hampir semua daripada kita pernah pandu atau naiki. Kenapa? Jika anda mengambil lesen kereta dalam tempoh selepas ia diperkenalkan pada 1994, inilah model yang penting yang digunakan itu – dan masih digunakan hingga sekarang untuk tujuan itu. Kancil juga menjadi kereta yang paling murah pernah diperkenalkan di Malaysia (diwarisi seterusnya oleh Viva dan kemudiannya Axia ketika ini), membolehkan ramai orang mempunyai capaian terhadapnya. Disebabkan itu, Kancil sangat dekat di hati kita secara kolektif sebagai warga Malaysia.

9. Datsun 120Y

Ini agaknya kereta dari jenama Jepun tetapi mampu berkongsi status dengan Kancil sebagai kereta yang melekat dalam memori kebanyakan daripada kita. Ini juga model penting yang menjadi tunggak kepada kejayaan Nissan di Malaysia kemudiannya. Ia kemudiannya disusuli oleh model seperti 130Y/Nissan Sunny dan juga Nissan Vanette yang menjadi bertambah popular dalam kalangan pengguna ketika itu.

8. Proton Gen 2

Ini agaknya model Proton yang terawal menampilkan kandungan tempatan yang tertinggi dalam pembikinannya. Walaupun Waja kerap mendapat jolokan sebagai kereta Proton yang mendapat sentuhan terbanyak oleh orang Malaysia, ia sebenarnya masih diasaskan dari model Mitsubishi Carisma. Sebaliknya, Gen 2 merupakan sebuah kereta yang direka sendiri, dan dipasangkan dengan enjin empat-silinder yang juga dibangunkan sendiri oleh Proton – buat pertama kali ketika itu. Memang, terdapat banyak masalah dengan kereta itu, tetapi kita tak boleh menafikan jalan ceritanya yang satu ini.

7. Toyota Alphard/Vellfire

Ini dua kembar MPV yang merajalela di jalanraya Malaysia sejak beberapa lama dahulu. Toyota Alphard dan Vellfire yang besar ini menikmati penerimaan yang sangat meluas daripada khalayak di Malaysia. Sehinggakan, dalam versinya yang terbaru dalam pasaran ketika ini, UMW Toyota mengambil keputusan untuk membawa masuk model ini secara rasmi disebabkan popularitinya dalam kalangan grey importer di Malaysia yang seterusnya mendapat sambutan yang sangat luar biasa, terutama bagi mereka yang berkeluarga – dan yang nak hitamkan semua tingkap untuk jadikannya sebuah kereta dengan imej VIP.

6. Volvo 240

Mungkin ada yang tak tahu, Malaysia sudah mula memasang dan mengeluarkan kereta sebelum Proton ditubuhkan lagi. Pada 1967, sedekad selepas negara merdeka, Swedish Motor Assemblies membuka kilangnya di sini. Dan, model Volvo 240 inilah yang membawa jenama itu meledak popularitinya di Malaysia. Imej konvensional berkotak ini jugalah yang sekian lama menjadi rujukan dan dipinjam untuk menghasilkan kereta-kereta lain sehingga ke hari ini – terutama oleh model-model Volvo sendiri seperti 740, 850 dan S70 sehinggalah kepada kereta modennya yang lebih ranggi.

5. Mitsubishi Pajero

Dulu, SUV hanya dikenali kerana ketangkasan, ruang dan keupayaan pacuan off-road, sebelum beralih sebagai pilihan paling popular untuk keselesaan, ketika ini. Jadi, dalam banyak-banyak jentera 4×4 sebenar era 80an dan 90an, ia tidak sah kalau tak menyebut nama Mitsubishi Pajero. Sayangnya, ketika perjanjian antara Mitsubishi dan Proton termeterai, hanya kenderaan komersial pengeluar Jepun ini yang terjual dengan meluas di sini. Pajero antara yang paling terkesan dalam kepala, sehinggakan semua SUV selepas itu akan disebut “Pajero”, sama seperti status yang dinikmati oleh satu lagi model berikutnya di tangga ke-empat.

4. Toyota Hilux

Inilah kenderaan yang dimaksudkan; semua trak pikap yang hadir selepasnya tidak akan dapat lari daripada bayangan Toyota Hilux. Walaupun telah mengalami banyak evolusi rekaan, daripada bentuk petak dan garis bucu tajam kepada yang lebih lembut dan berlekuk seperti versi sekarang ini, ia tetap trak nombor satu di Malaysia dari segi imej. Dan, Hilux juga mungkin menjadi perintis terawal peralihan penggunaan trak pikap dari bertujuan untuk kerja-kerja kasar misalnya di tapak pembinaan kepada kenderaan untuk kegunaan harian. Oh, satu lagi; ada waktunya dahulu, Hilux juga menjadi kenderaan yang paling banyak dicuri!

3. Toyota Vios

Lagi satu kereta paling popular dalam kalangan warga Malaysia keluaran Toyota. Sebelum kehadirannya, kereta keluaran Honda dan Toyota dirasakan agak mahal bagi kebanyakan orang. Tetapi melalui Vios, Toyota mengubah tanggapan itu dengan menawarkanya sebagai pilihan yang mampu milik bagi sedan dalam segmen B. Katalah apa sahaja, Vios “dugong” atau Vios “teksi Siam”, ia akhirnya terpahat dalam imajinasi rakyat Malaysia dan akhirnya bertebaran di atas jalan raya kita sehinggalah ke hari ini – siap merancakkan semula kegilaan di Malaysia terhadap bodykit.

2. Perodua Myvi

Rasanya kereta ini tidak lagi memerlukan apa-apa pengenalan atau penjelasan. Sejak kelahirannya, Myvi telah berkembang menjadi ikon yang tersendiri dalam kalangan masyarakat, baik dari sisi yang positif mahupun negatif. Yang positif, ia menjadi kereta yang sangat mampu milik, dan dalam masa sama menawarkan keselesaan dan kualiti pada harganya. Yang negatifnya pula, ia kini menerima jolokan antara lain sebagai “Taliban” dan “kereta sport kebangsaan” – publisiti yang entahkan baik atau buruk, tetapi berhasil mengukuhkan nama Myvi dalam minta ramai orang.

1. Proton Saga

Tempat pertama ini rasanya memang tak boleh diberikan kepada model kereta lain; dosa besar kalau kami lakukan itu. Saga inilah kereta nasional pertama yang dipasang dan keluarkan oleh Malaysia, ketika itu dengan kerjasama Mitsubishi, pada tahun 1985. Nama Saga juga terus dikekalkan sehingga hari ini, dan berubah menjadi sebuah kereta bajet yang tetap ingin memberikan penawaran yang berkualiti pada harga yang mesra poket. Di dalam penampilannya yang terbaru, Saga 2019 kembali untuk berbakti kepada golongan kebanyakan – memberikan hak dengan penawaran yang berbaloi kepada rakyat Malaysia. Macam mana, anda setuju dengan senarai kami? Ada cadangan yang lain?