Perodua Kancil kini 25 tahun – model paling mampu milik di Malaysia, asas legasi kepada Viva dan Axia

Perodua Kancil kini 25 tahun – model paling mampu milik di Malaysia, asas legasi kepada Viva dan Axia

Seperti juga Proton Saga, rata-rata yang lahir pada era 70’an dan 80’an pasti ada pengalaman dengan Perodua Kancil bukan? Jika bukan anda sendiri atau ada ahli keluarga yang memiliki, sekurang-kurangnya anda mesti pernah memandu kereta kecil berkenaan ketika berada di sekolah memandu untuk mengambil lesen D.

Sedar tak sedar, Kancil sebenarnya sudahpun berumur 25-tahun hari ini – ia muncul secara rasmi pada 29 Ogos 1994, saya sendiri ketika itu baru darjah dua, dan masih lagi terngiang-ngiang lagu “Wooo uh oh uh oh yeahh…Sebijak Anda” yang dinyanyikan ketika iklan kereta ini dimainkan di televisyen tempatan.

Seperti ramai yang tahu, Kancil adalah produk pertama dari Perodua, dan diasaskan dari Daihatsu Mira L200, iaitu Mira generasi ketiga pada pasaran domestik Jepun (JDM). Penubuhan Perodua itu sendiri telah diilhamkan oleh orang yang sama melahirkan Proton iaitu Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohammed, dan idea ini dilontarkan buat pertama kali pada lawatannya ke Jepun pada tahun 1991.

Buat permulaan, projek kereta nasional kedua ini digelar sebagai M2, dan idea tersebut hadir kerana Tun M mahukan sebuah lagi kereta nasional yang lebih kecil dan lebih mampu untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia berbanding Proton Saga, dihasilkan dengan kerjasama Daihatsu Jepun. Projek ini kemudiannya diumumkan secara rasmi dengan tertubuhnya Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd atau Perodua pada tahun 1993.

Perodua Kancil kini 25 tahun – model paling mampu milik di Malaysia, asas legasi kepada Viva dan Axia

Setahun selepas itu, muncullah Perodua Kancil secara rasmi dalam pasaran. Unit Kancil berwarna merah yang anda lihat dalam foto di atas adalah unit pertama sebenar yang keluar dari kilang Perodua di Rawang, dan ia kini terus dipamerkan di ibu pejabat jenama tersebut.

Ketika itu, Kancil hanya ditawarkan dengan varian dijana enjin tiga-silinder 660 cc. Dengan sepasang lampu kaca hadapan, gril dengan logo ‘kancil lompat’ bersama bampar-bampar yang tidak diwarnakan, serta rim 12-inci dengan lebar hanya 4jj dibaluti tayar 155/70R12, Kancil ini dijual dengan harga hanya sekitar RM25,000.

Dengan bayaran bulanan lebih mahal sedikit dari sebuah motosikal kapcai, rakyat Malaysia dari golongan berpendapatan rendah, orang bujang yang baharu sahaja mula berkerja, serta pelajar-pelajar kolej mula mengubah mod pengangkutan mereka. Walaupun bersaiz kecil dan juga kuasa enjin hanya 31 PS berserta kotak gear manual empat kelajuan, Kancil masih mampu memuatkan empat orang dewasa, boleh membawa barang yang lebih banyak, selesa dan mempunyai penghawa dingin serta tidak perlu berteduh sekiranya hari hujan berbanding menggunakan motosikal.

Sekitar lima bulan selepas itu iaitu pada Januari 1995, Kancil EZ (disebut E-Zee/easy atau mudah) pula diperkenalkan dalam pasaran. Seperti namanya, model EZ ini diberikan kotak gear automatik tiga kelajuan. Dah la kecil, gear auto pula, apa lagi alasan seorang makwe untuk tidak memandu sebuah Kancil?

Perodua Kancil kini 25 tahun – model paling mampu milik di Malaysia, asas legasi kepada Viva dan Axia

Dalam masa yang sama, Perodua turut memberikan rupa yang lebih ‘siap’ untuk varian GX 660 manual sedia ada dengan mewarnakan bampar hadapan dan belakang mengikut warna badan, dan dibekalkan dengan ciri seperti pengunci gear, kemasan pelindung sisi dan juga aksesori keselamatan seperti kit rawatan kecemasan. Model tertinggi Kancil ketika ini dengan warna metalik hanya dijual pada harga sekitar RM30k.

Pada 1995 juga Perodua telah menghasilkan model edisi terhad yang digelar Kancil Era. Model ini hadir dengan warna dua tona – badan hitam dan warna perak pada kawasan bampar dan kebawah (termasuk bawah pintu), spoiler di sekeliling cermin belakang seakan spoiler Mira L2 TR-XX, reflektor yang merentangi pintu tailgate belakang, rim aloi Enkei berwarna perak 12-inci, pelekat ‘Kancil Era’ pada pintu belakang, dan pelbagai lagi.

Dua tahun selepas pengenalan model asal, Kancil kemudiannya ditawarkan dalam versi yang dijana oleh enjin 850 cc – ini tidak ada pada model-model Mira JDM kerana had kapasiti enjin untuk undang-undang K-Car Jepun adalah 660 cc. Model dengan enjin sedikit lebih besar ini masih menggunakan sistem karburator, menjana 37 PS atau 6 PS lebih berkuasa dari model 660 cc.

Model 850 ini turut hadir dengan versi GX manual dan EZ automatik, tetapi untuk GX ia dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Selain dari enjin yang lebih berkuasa, Kancil 850 ini turut dibezakan dengan satu ciri lebih mewah dari 660 iaitu tingkap berkuasa elektrik pada pintu depan.

Kancil juga telah dieksport ke UK pada tahun 1997. Digelar Perodua Nippa d inegara berkenaan, dijual pada harga £5,000 sekaligus menjadikan ia sebagai kereta termurah di UK pada era tersebut. Ketika itu, antara kereta kecil yang popular adalah Ford Fiesta, dijual pada harga bermula £7,475 hingga £13,165

Dengan harga membolehkan lebih ramai orang membeli kereta, telah menyebabkan satu lagi ‘revolusi’ dalam budaya berkereta di Malaysia – trend mengubahsuai mula masuk tahap lebih ke akar umbi. Saya ingat lagi bagaimana banyak Kancil yang dimiliki oleh golongan yang lebih muda mula diubahsuai secara asas – spring standard di potong untuk merendahkan badan, kemudian penutup tayar (wheel cap) plastik bersaiz 13-inci ‘diikat’ pada rim besi 12-inci asal bagi memberikan ilusi bahawa ia menggunakan rim lebih besar dengan tayar lebih nipis. Ini sudah cukup untuk anda bergelar seorang ‘Mat Kereta’ ketika itu.

Diasaskan dari Daihatsu Mira L200, memberikan satu lagi kelebihan buat Kancil – kegilaan terhadap budaya ubahsuai K-Car dari Jepun mula berjangkit ke dalam masyarakat Malaysia. Daihatsu bukan sahaja menghasilkan model asas Mira untuk penggunaan dalam bandar di Jepun, malah turut membina model-model berprestasi menggunakan enjin 660 cc dengan pengecas turbo dan juga lambakan varian serta edisi-edisi istimewa seperti Parco, TRXX, Felix The Cat, Hello Kitty, dan pelbagai lagi. Industri kereta potong atau ‘halfcut’ yang dibawa dari Jepun menyumbang kepada meriahnya modifikasi Kancil di Malaysia ketika itu (masih lagi bertahan dan menjadi kegilaan sehingga kini!).

Sebenarnya Mira L200 hanya diproduksi dari tahun 1990 hingga 1994 di Jepun. Ia kemudiannya digantikan dengan Mira L500 sehingga tahun 1998. Namun dengan asas yang tidak banyak beza, barang-barang dari L500 seperti muka Mira TR-XX Avanzato R (L512) turut popular untuk disumbatkan ke badan Kancil.

Selepas produksi L500 tamat pada 1998 dan digantikan dengan Mira L700 (ia kemudian di bawa oleh Perodua ke Malaysia sebagai Kelisa pada 2001), Kancil masih lagi bertahan dalam pasaran Malaysia. Pada Ogos 1997, Kancil facelift telah diperkenalkan buat pertama kali.

Model tersebut menampilkan rupa lebih segar dengan gril hadapan lebih besar, bampar hadapan baharu dengan lampu isyarat membelok lebih bulat, kemasan jalur baharu pada bampar belakang, dua washer jet untuk membersihkan cermin depan (hanya satu sebelum itu) lampu belakang dengan lensa signal berwarna putih dan penutup roda dengan rekaan baharu. Pada bahagian dalaman pula, Kancil facelift ini nampak lebih baik dari sebelumnya dengan diberikan upholsteri baharu.

Model kemaskini berkenaan masih tampil dengan dua pilihan enjin, tetapi untuk model 660 cc, kotak gear empat-kelajuan manual telah digantikan dengan unit lima-kelajuan manual. Model 850 pula tampil dengan kelengkapan lebih baik seperti cermin sisi boleh laras baharu, tempat duduk dengan perehat kepala boleh turun-naik dan juga meter dengan latar belakang putih.

Ia kemudian dikemaskini lagi pada tahun 2000 – kali ini disertakan dengan gril yang direka semula, kemasan pelindung sisi badan, dan juga bampar yang di cat hanya separa bagi diselaraskan dengan pelindung sisi baharu tersebut. Model 850 pula menerima cermin pandang sisi larasan elektrik.

Perodua Kancil kini 25 tahun – model paling mampu milik di Malaysia, asas legasi kepada Viva dan Axia

Selepas itu, Kancil masih terus bertahan dalam produksi di mana pada September 2002, ia diberikan perubahan rupa yang agak besar. Model berkenaan diberikan muka dengan pipi, lampu hadapan dan lampu signal hadapan yang lebih bulat – diberi gelaran ‘Kancil Mata Belalang’ oleh masyarakat Malaysia – mungkin diinspirasikan oleh Daihatsu Opti. Elemen lebih bulat turut diberikan pada bahagian belakang menerusi rekaan pintu tailgate, lampu dan bampar belakang baharu.

Perubahan menyeluruh turut dapat dilihat pada bahagian kabin, di mana papan pemuka baharu Kancil tersebut menampilkan panel meter yang dialihkan pada bahagian tengah seakan Toyota Vios generasi kedua, dan juga liang-liang penghawa dingin berbentuk bulat. Panel-panel pintu pula menerima kemasan plastik tanpa balutan upholsteri.

Ketika dilancarkan, ia hadir dengan dua varian iaitu 660 EX dan 850 EX – kedua-duanya dilengkapi kotak gear manual lima-kelajuan dan sistem karburator seperti model sebelumnya. Model automatik hanya hadir pada tahun 2003 digelar EZi, di mana abjad ‘i’ berkenaan bermaksud injection, iaitu sistem suntikan bahan api elektronik yang menggantikan karbutor, hanya untuk model auto.

Ketika Kancil baharu ini diperkenalkan, Perodua sudahpun memproduksi Kancil lebih dari 470,000 unit. Kancil Mata Belalang berwarna biru yang anda lihat pada gambar di atas adalah unit yang turut kini dipamerkan di ibu pejabat Perodua, dan ia sebenarnya Kancil yang ke-500,000 keluar dari kilang, siap pada 11 April 2003.

Namun setelah 15-tahun berada dalam pasaran, produksi Kancil akhirnya telah ditamatkan pada bulan Julai 2009 dengan jumlah keseluruhan yang dihasilkan adalah 722,223 unit. Tetapi, ini bukan bermaksud Perodua tidak lagi menghasilkan model asas yang boleh dibeli dengan bayaran bulanan sedikit lebih mahal dari motor kapcai, kerana tugas tersebut terus disandang oleh Perodua Viva.

Perodua Viva sebenarnya sudah masuk ke pasaran bermula pada Mei 2007. Ia turut diasaskan dari Daihatsu Mira iaitu generasi ke-enam atau dikenali dengan kod casis L250. Seperti juga kancil, Viva ditawarkan dengan harga yang sangat mampu milik – model paling ‘kosong’ Viva 660BX ditawarkan dengan harga hanya RM25,000 pada Julai 2009. Versi yang dijual tanpa radio ini diberikan harga lebih murah pada 2014 iaitu RM22,000 ketika Perodua mula mahu memperkenalkan Perodua Axia.

Selain dari versi asas ini, Viva turut hadir dengan varian-varian lain seprti 850EX manual, 1.0SX Standard manual, 1.0EZ Standard auto, 1.0SXi Premium manual and 1.0EZi Premium auto.

Viva yang anda lihat pada galeri gambar berwarna Ozzy Orange yang kami tampilkan ini adalah dari versi 1.0 Siri-S yang dijual pada harga RM35,200 (kemudian diturunkan kepada RM29,900 pada Jun 2014), yang hadir dengan kotak gear auto, stereng berkuasa, tempat duduk pemandu dengan pelaras ketinggian, sistem stereo yang boleh memainkan fail MP3/WMA, dan pelbagai lagi.

Perodua Viva kemudiannya digantikan dengan Perodua Axia pada September 2014. Berbanding model-model sebelum ini yang mempunyai saudara JDM, Axia dihasilkan dengan kembar model-model Daihatsu yang direka khas untuk Asia Tenggara iaitu Toyota Agya dan Daihatsu Ayla yang boleh anda temui di pasaran Indonesia.

Walaupun ia bukan berasaskan model JDM, Axia sebenarnya dihasilkan lebih sesuai dengan pasaran tempatan. Pertama sekali, ukurannya kini tidak lagi terikat kepada undang-undang K-Car Jepun, dan ia boleh dibina lebih besar dengan dimensi penuh hatchback segmen-A.

Kemudian, tiada lagi enjin 660 cc atau 850 cc pada Axia, di mana kesemua varian dibekalkan dengan enjin sama dan ia jauh lebih maju. Enjin 1KR-DE tiga-silinder pada model ini bukan sahaja hadir dengan kapasiti lebih besar iaitu 1.0 liter, malah ia turut pada dengan mekanisma dan teknologi terkini seperti sistem suntikan petrol elektronik dan juga aci sesondol berkembar.

Enjin twin-cam 12-injap tersebut berupaya menghasilkan 66 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 90 Nm pada 3,600 rpm, atau sekali ganda lebih berkuasa dari enjin 660 cc Kancil generasi pertama. Axia juga tidak dijual dengan bampar dan pembuka pintu yang tidak diwarnakan, namun untuk model asas 1.0L E dengan kotak gear lima kelajuan manual, ia dijual pada harga lebih kurang Kancil 20 tahun sebelumnya iaitu hanya RM24,600!

Pada awal 2017, Axia diberikan fasa facelift kali pertama – ia bukan hanya menerima muka baharu yang hampir sama dengan abangnya, Perodua Myvi, malah enjin 1KR pada model kemaskini tersebut turut menerima peningkatan dengan sistem injap bervariasi VVT-i. Sistem berkenaan menghasilkan kuasa 1 hp/1 Nm lebih tinggi dari versi sebelumnya, tetapi apa yang paling penting ia mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 22.5 km/l untuk versi manual, berbanding 21.6 km/l sebelum itu.

Bagi model tertinggi Axia, ia juga dilengkapkan dengan pelbagai ciri yang sebelum ini hanya diberikan pada model-model lebih besar dan lebih mahal seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan dan hubungan telefon pintar Smartlink pada sistem infotainmen – secara tidak langsung memberikan tekanan pada pengeluar lain untuk menawarkan sistem yang sama pada harga lebih rendah dari sebelum ini.

Selain sambutan ulang tahun Kancil yang 25-tahun hari ini, sebenarnya Axia bakal muncul dengan satu lagi fasa facelift yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan. Seperti yang telah diumumkan ketika menyiarkan teaser model tersebut (tempahannya juga mula dibuka), Axia 2019 ini bakal menerima sistem-sistem yang jauh lebih canggih seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan juga sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 seperti Perodua Aruz, yang menawarkan sistem seperti brek kecemasan automatik (AEB).

Satu lagi berita gempar, Axia 2019 ini juga akan menampilkan satu varian baharu yang digelar Axia Style. Ia bukan varian yang berkonsep lebih sporty seperti biasa, tetapi ia dihasilkan seakan crossover seperti apa yang dilakukan terhadap model-model seperti Volkswagen CrossPolo, Hyundai i20 Active, Honda WR-V dan satu contoh yang boleh kita lihat di Malaysia adalah Volvo V40 Cross Country (maksud penulis adalah konsepnya, bukan bermakna ia sama kelas).

Perodua Kancil kini 25 tahun – model paling mampu milik di Malaysia, asas legasi kepada Viva dan Axia

Jadi, model ini akan menerima kemasan-kemasan ‘pelindung’ berwarna hitam di bahagian sisi bawahnya, bersama kemasan berwarna perak pada bawah bampar hadapan dan belakang seakan skid plate, serta perincian lain seperti roda yang lebih besar, rel bumbung palsu dan sebagainya. Anda boleh baca segala perincian Perodua Axia 2019 tersebut pada PAUTAN INI.

Apa yang menarik lagi, Axia 2019 ini masih menampilkan harga hampir sama dengan ‘Kancil Pekak’ 25 tahun lalu – model Standard E akan dijual pada harga bermula RM24,090. Untuk Axia dengan segala macam benda diberikan, sudah tentulah harganya lebih mahal – model Advance akan dijual pada harga RM43,190.

Eh, kejap. Kita masih lagi boleh beli hatchback dengan spesifikasi asas berharga sekitar RM25k, dan Perdana Menteri kita masih lagi Tun Dr. Mahathir Mohammed – kita dalam tahun berapa sebenarnya ni?

GALERI: Perodua Kancil unit yang pertama

GALERI: Perodua Kancil unit yang ke-500,000

GALERI: Perodua Viva Siri-S

GALERI: Perodua Axia Standard G pre-facelift

GALERI: Perodua Axia Advance facelift 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required