Honda WR-V dilancarkan di India – harga dari RM53k

Honda WR-V dilancarkan di India – harga dari RM53k

Honda WR-V telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran India. Walaupun SUV yang diasaskan daripada model Jazz itu pertama kali dilihat di Brazil lewat tahun lepas, India menjadi pasaran pertama model ini dilancarkan – model ini dibangunkan melalui konsep “Refresh for Urban India”.

“Pasaran India yang pesat berkembang telah menunjukkan permintaan kuat terhadap kenderaan kompak yang bergaya, selesa dan ada ciri premium. Dengan WR-V, kami ingin menyediakan sebuah kenderaan untuk kegunaan rekreasi yang selesa juga untuk dipandu setiap hari bagi pelanggan di India,” jelas CEO Honda Cars India, Yoichiro Ueno, yang juga bekas ketua Honda Malaysia sebelum ini.

Jika diperhatikan dengan teliti, bentuk asas Jazz serta garis badannya masih dapat dilihat pada model baru ini. Bahagian belakang diberikan perubahan yang sedikit ketara, dengan beberapa elemen diperkemas pada bahagian lampunya. Di depan, sentuhan dari HR-V juga dapat dilihat, misalnya pada wajah utama dengan lampu nyalaan siang LED.

Ia dibangunkan dengan dimensi 3,999 mm tinggi dan 1,734 mm lebar; WR-V ialah 44 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding Jazz. Jarak kelegaan tanah pula ialah 188 mm, yang mana angka ini 53 mm lebih tinggi berbanding model asasnya, Jazz. Sama seperti Jazz spesifikasi tertinggi di sini, WR-V hadir dengan rim 16 inci kemasan warna gunmetal, tetapi tayarnya dengan profil yang lebih tinggi.

WR-V menggunakan enjin yang sama ada pada Jazz, termasuk 1.2 liter SOHC i-VTEC petrol (90 PS/110 Nm) dan 1.5 liter i-DTEC (turbodiesel, dengan kuasa 100 PS/200 Nm) tork dari 1,750 rpm. Tiada pilihan transmisi CVT; kedua-duanya hadir dengan kotak gear manual – lima-kelajuan yang baru dibangunkan untuk versi petrol, manakala enam-kelajuan bagi versi diesel. Penggunaan minyak model di India didakwa dapat mencapai 17.5 km/l bagi petrol dan 25.5 km/l bagi diesel.

Antara ciri lain yang menjadikan rekaannya tampak lebih menarik ialah landasan pada bumbung, sunroof elektrik – pendekatan yang sama Honda gunakan ketika membangunkan BR-V dan Mobilio. Antara pesaing terdekat model ini ialah seperti VW Cross Polo, Hyundai i20 Active serta Ford EcoSport dan Vitara Brezza.

Harga jualannya di India ialah dari 7.75 lakh (RM52,550) bagi varian S petrol, hingga 9.99 lakh (RM67,748) bagi varian VX diesel. Adakah model ini, sekiranya bakal tiba juga untuk pasaran ASEAN, akan diterima dengan baik?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Syafiq on Mar 19, 2017 at 7:38 pm

    Rekaan menarik, tapi kecil. Macam Perodua Kembara ni. Agaknya.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required