PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

Untuk melihat dengan lebih objektif terhadap Honda BR-V, ada eloknya kita tolak ke tepi dahulu sambutan hangat yang diterima kini; yang mana setakat awal minggu ini sudah menerima 8,700 unit tempahan sejak ia dilancarkan pada awal Januari lalu. Tempoh menunggu juga kira-kira dua bulan paling lama sebelum serahan boleh dilakukan kepada pelanggan.

Satu soalan yang bermain di dalam benak saya sendiri dan lebih penting untuk ditanyakan – saya juga percaya soalan sama bermain dalam fikiran ramai orang – ialah ini; adakah Honda BR-V benar-benar mampu memenuhi jangkaan penggunaan dan keperluan bagi ramai orang?

Bermula dengan pertanyaan ini, kami mengikuti sesi pandu uji media tempatan bagi mencuba model berkenaan dalam perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada Isnin hingga Rabu lalu. Ini merupakan pengalaman pertama saya memandu model berkenaan, dan juga pengalaman pertama pemanduan sebenar di atas jalan raya Malaysia. (Laporan pandu uji yang pernah kami terbitkan sebelum ini adalah berdasarkan pengalaman di Thailand.)

Antara perkara yang kerap kedengaran sejak model dengan nama panjang “Bold Runabout Vehicle” ini diperkenalkan ialah soalan tentang kemampuan prestasinya. Dengan enjin 1.5 liter yang digunakan, ramai yang bertanya; “kalau naik tujuh orang, enjin ini larat ke nak tarik?”

Walaupun pada kebanyakan waktu soalan sebegini bernada sinikal, tetapi untuk berlaku jujur, ia merupakan satu pertanyaan yang wajar dilontarkan. Pasaran Malaysia bukannya tidak pernah menerima model dengan pendekatan pembangunan seperti ini – dari segi reka bentuk, ia lebih cenderung dipanggil crossover, dari segi praktikaliti, ia menyamai sebuah MPV manakala penggayaan yang sporty dan sedikit agresif yang lebih dekat dengan SUV.

PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

Semua ini dipertemukan oleh BR-V di dalam satu pakej yang sempat dinilai atau ditinjau di dalam laporan ini. Sama dengan model HR-V sebelum ini, Honda sekali lagi memperkenalkan model dalam kategori yang sebelum ini belum diwakili oleh mana-mana model dari pengeluar lain, setidak-tidaknya untuk pasaran tempatan. Dengan BR-V, jenama ini sekali lagi mendahului – juga dengan begitu yakin, jika dinilai daripada sambutan yang diterima.

Tentulah sudah menjadi pengetahuan umum kini bahawa BR-V merupakan sebuah kenderaan penumpang dengan tujuh tempat duduk. Ini bukan konfigurasi tempat duduk dengan terma 5+2 yang kadang-kadang digunakan, tetapi sebaliknya ia memang mampu membawa tujuh orang penumpang dalam satu-satu masa.

Ketika saya mengatakan pasaran tempatan sudah pernah melihat penawaran model-model dengan pendekatan yang lebih kurang sama sebelum ini, antara model paling hampir yang dimaksudkan ialah Nissan Grand Livina. Ia antara model yang mempertemukan praktikaliti sebuah MPV, tetapi dengan gaya pemanduan yang tak lari jauh dari sebuah kereta biasa.

Selain itu, model MPV kompak seperti Toyota Avanza, dan yang terbaru dari pengeluar yang sama ialah Toyota Sienta. Ini tidak ketinggalan penawaran daripada pengeluar kenderaan tempatan – Proton diwakili oleh MPV kompak Ertiga, manakala Perodua pula sejak sekian lama mempertaruhkan satu-satunya MPV kompak keluaran syarikat itu, Alza di dalam segmen yang kini dihuni oleh semakin banyak model dari setahun ke setahun.

Jika diperhatikan, ada beberapa persamaan dan kemiripan yang mengikat semua model yang dibariskan ini di dalam satu kumpulan. Walaupun dari penilaian mata kasar, saiz dan reka bentuk sedikit sebanyak berbeza, namun kapasiti enjin yang melengkapi setiap model ini ialah 1.6 liter ke bawah. Perbezaan paling ketara tentulah pada tanda harga yang dikenakan.

PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

Persamaan kedua, Honda BR-V dan semua model pesaing yang disebutkan itu dibangunkan untuk menepati kegunaan sebuah keluarga – dalam maksud lain, ia lebih mementingkan keluasan ruang, keselesaan sepanjang perjalanan kepada semua penumpang serta praktikaliti penggunaan secara keseluruhannya.

Dari sudut-sudut yang dinyatakan ini, Honda BR-V mempunyai banyak kelebihan, bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan agak ke depan berbanding yang lain. Misalnya, dari segi dimensi; BR-V memiliki panjang 4,456 mm, 1,735 mm lebar dan 1,666 mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 2,662 mm; ia 52 mm lebih panjang, manakala bumbung BR-V juga 61 mm lebih tinggi, berbanding HR-V.

Tidak hanya itu, jarak kelegaan tanahnya dengan ketinggian 201 mm (31 mm lebih tinggi dari model CR-V) juga menjadi satu kelebihan. Dalam keadaan memerlukan, kenderaan ini boleh melepasi hadangan pada laluan tanpa banyak masalah. Untuk tujuan demonstrasi ketika sesi media berkenaan, BR-V mampu melepasi ketinggian pembahagi atau bahu jalan tanpa bergeser sedikit pun pada bahagian bawah kenderaan. Ia juga boleh meredah air dengan kedalaman 400 mm.

Anda juga mungkin perasan terdapat dua jalur atau landasan dibahagian atas bumbungnya. Itu bukanlah sekadar hiasan semata-mata; ciri yang sangat sinonim dengan kenderaan SUV. Ia sangat berguna sekiranya anda ingin membawa barangan tambahan, seperti kotak barangan Thule ataupun untuk mengangkut basikal. Ia direka untuk menampung berat sehingga 30 kg.

Bercakap tentang praktikaliti pada BR-V tidak hanya berakhir di situ. Kepelbagaian posisi ruang dalamannya juga meletakkan BR-V mendahului model-model lain yang ada. Ia merupakan sebuah kenderaan tujuh tempat duduk. Paling hampir dengannya dalam pertimbangan dari sudut ini ialah Toyota Sienta, dengan tujuh-tempat duduk juga, serta Proton Ertiga, dengan kapasiti enam penumpang.

Tidak hanya itu, konfigurasi tempat duduk yang ada juga sangat pelbagai. Misalnya, barisan kedua boleh dianjakan ke depan atau kebelakang, tak lupa juga tentang corong pendingin hawa sendiri. Penyandar tempat duduk barisan ketiga juga boleh diturunkan sedikit. Lipatan tempat duduk juga pelbagai – dengan hanya satu pergerakan misalnya, barisan kedua boleh dilipat dan diangkat untuk dirapatkan ke depan, bagi menyediakan ruang dari lantai ke bumbung, untuk membawa barangan yang tinggi.

Tempat duduk barisan ketiga juga cukup luas untuk menempatkan dua orang dewasa. Saya sendiri mencuba untuk duduk diruang berkenaan. Dengan tinggi 180 cm, ruang yang ada masih membolehkan saya untuk duduk seperti biasa. Cuma, bahagian lutut saya akan bersentuhan dengan penyandar barisan kedua – untuk perjalanan jarak dekat, ini mungkin tak jadi masalah. Tapi, jika untuk perjalanan jauh, itu sedikit melemaskan.

Ruang kepala pula sangat luas. Walaupun dalam posisi yang sedikit tegak, apa yang ingin dinyatakan di sini ialah tempat duduk barisan ketiga akan berfungsi sebagai tempat duduk sebenar, dan bukannya sekadar ‘hiasan’. Bagi penumpang yang bersaiz lebih rendah dan kecil, pasti tiada masalah untuk duduk selesa di barisan ketiga. Rekaan cermin hadapan yang luas, serta cermin pada bahagian pintu yang juga besar dengan panel pintu yang rendah turut menyumbang untuk penumpang merasakan keluasan ruang kabin.

Tentang ruang untuk membawa barangan pula, dengan semua kerusi dinaikkan, keluasan yang tersedia di bahagian belakang sekali adalah dalam kapasiti 223 liter. Tapi, kalau perlukan lebih banyak ruang untuk mengangkut barang, turunkan kerusi barisan ketiga dan anda akan memperoleh 539 liter. Jika perlu lebih banyak ruang, kerusi barisan kedua turut bersedia untuk dilipat.

Kita tinjau pula berkaitan prestasi model ini. BR-V dilengkapi enjin 1.5 liter, empat-silinder, 16 injap SOHC i-VTEC dengan sistem suntikan minyak elektronik. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 120 PS pada 6,600 rpm manakala tork pula ialah 145 Nm pada 4,600 rpm.

Bagi sistem transmisi, ia dari jenis Continuously Variable Timing (CVT) Earth Dreams. Ini gandingan sistem yang sama pernah kita lihat pada model-model seperti Honda Jazz dan City – bahkan, sebahagian rekaan bahagian dalaman juga mirip, misalnya reka letak papan pemuka. Sebagai rujukan, BR-V ini dibangunkan khusus untuk pasaran Asean, dan diasaskan menggunakan platform yang sama dengan model kompak Honda Brio dan Mobilio, kedua-duanya model laris di pasaran Indonesia.

Jadi, bagaimana dengan prestasi pemanduan model ini, adakah benar ia tak mempunyai cukup kuasa untuk menjalankan tugas yang sepatutnya? Sepanjang tiga hari mencubanya, tidak banyak masalah yang timbul berkaitan penyaluran kuasa pada BR-V ini. Perlu dinyatakan, ia sebuah kenderaan yang direka untuk praktikaliti keluarga, dan kemampuan prestasinya juga ditumpukan untuk memenuhi tujuan berkenaan.

Di bawah kelajuan piawai di lebuh raya, BR-V memberikan maklum balas pemanduan yang bersahaja. Saluran kuasa agak linear, namum pemandu boleh saja menekan pedal untuk medapatkan kepantasan penyaluran kuasa jika mahu. Ia akan meluncur dengan sangat yakin dan bertenaga serta senyap pada had kelajuan 110 km/j.

Tentunya, BR-V mampu memberikan lebih daripada itu. Bagi tujuan ujian ini, kami sempat mencuba pemanduannya dalam kelajuan yang lebih tinggi – ketika ini beberapa karekter lain yang belum terserlah sebelumnya dapat diperhatikan.

Misalnya, apabila pedal minyak ditekan secara berterusan untuk mencapai kelajuan yang lebih tinggi dalam masa yang singkat, enjinnya dirasakan sedikit terdesak, dan bunyi dengung dari sistem CVT juga mula kedengaran agak ketara dengan enjin juga sedikit ‘meraung’. Namun, pemanduan kekal meyakinkan, hanya bunyi yang agak nyaring akan kedengaran.

PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

Jika ada satu perkara yang perlu ditambah baik pada BR-V ini, saya fikir tahap kebisingan dalam kabin, yang terhasil dari bunyi enjin dan CVT yang dikerah itu, boleh diberikan sistem penebat bunyi yang lebih berkesan berbanding yang ada sekarang. Ia malah sampai ke tahap ini; jika anda memandu, dan ingin berbual dengan penumpang di barisan kedua, sangat sukar untuk mendengar suara mereka.

Ini ditambah pula dengan kebisingan yang terhasil dari bunyi tayar dan angin dari luar, yang juga akan sangat mengganggu jika anda terus memandu dalam kelajuan yang bertambah – dengan kadar rpm enjin yang juga semakin meningkat. Boleh jadi, aspek ini antara yang terpaksa ‘dikorbankan’ sedikit untuk membolehkan BR-V dijual pada harga yang dinyatakan.

Kalau anda duduk di barisan ketiga pula, pemandu dan penumpang depan akan hampir mustahil dapat menangkap buah bicara anda dengan tepat. Jadi, jika ingin rancak berborak dengan pendengaran yang jelas, anda perlu memperlahankan pemanduan.

Kemudian, berbalik kepada pertanyaan awal; jika dengan tujuh penumpang penuh, adakah enjinnya mampu menampung beban berkenaan? Tambahan pula, jika anda dalam perjalanan pada permukaan mendaki, misalnya sedang menuju ke Genting Highland, adakah enjinnya akan ‘terseksa’?

Menurut Honda sendiri, dalam fasa mereka membangunkan BR-V, semua faktor itu sudah dipertimbangkan dari awal; BR-V tidak ada masalah untuk dipandu mendaki ke kawasan tanah tinggi, walaupun dengan tujuh penumpang. Selepas menghabiskan masa dengan model ini tempoh hari, dan memerhatikan karekternya ketika melalui jalan belakang dari Balik Pulau-Teluk Bahang-Batu Feringghi yang mendaki sekali gus berliku, kami boleh bersetuju dengan kenyataan itu.

Ia akan mampu menggalas tugasan pemanduan dalam situasi sebegitu dengan agak baik. Untuk mendaki memang bukan satu masalah buat BR-V. Cuma, keadaan kabin akan menjadi bising ketika enjin dan CVT mengerah tenaga yang lebih dalam keadaan sebegitu. Sesiapa juga pasti akan terkesan dengan tahap kebisingan yang semakin meningkat dan boleh didengar dari dalam kabin ketika sistem pacuan BR-V sedang bekerja keras dalam keadaan seperti itu.

Sebagai perbandingan, Toyota Sienta yang turut sempat dicuba, termasuk pada laluan berliku sekitar Empangan Teluk Bahang, memberikan kadar NVH (Noise, Vibration, Harshness) atau kebisingan yang lebih rendah dan sangat baik jika dibandingkan dengan BR-V. Ruang kabin Sienta, dengan bumbung yang lebih tinggi, serta ciri khas seperti pintu gelungsur elektrik membuatkannya rasa lebih selesa dan premium sebagai sebuah MPV untuk keluarga.

Walaupun kekurangan dari aspek berkenaan berbanding Sienta, Honda BR-V masih mempunyai satu kelebihan lain – iaitu harganya. Untuk kenderaan untuk kegunaan keluarga, tanda harga bagi dua varian BR-V (E dan V) yang bermula dari RM85,800 sukar di atasi oleh mana-mana model lain ketika ini yang setara dengan spesifikasinya.

Dari sudut keselamatan juga, BR-V berada di depan. Ia antara lain lengkap dengan ciri kawalan kestabilan kenderaan (VSA) dan Hill Start Assist (HSA). Ketika dalam perjalanan, tambahan pula ketika bersama keluarga, ciri VSA inilah yang paling diinginkan.

Kami juga sempat mencuba satu ujian khas ketika sesi pandu uji ini; menukar lorong kenderaan tanpa menggunakan brek pada kelajuan sekitar 70-80 km/j, untuk melihat ciri berkenaan berfungsi. Dalam situasi kecemasan seperti itu, BR-V masih boleh dikawal dengan yakin. Olengan badannya terasa sangat minimum, begitu juga dengan input stereng yang tidak terlalu ‘longgar’ dan membolehkan pemandu membetulkan kedudukan stereng dengan mudah dan tepat.

PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

Namun, berbeza pula halnya dengan beberapa model pesaing – seperti Toyota Avanza dan Nissan Grand Livina – yang turut melakukan ujian yang sama, dengan kelajuan yang sama. Sangat ketara kesukaran untuk mengawal kedua-dua model berkenaan dalam keadaan sebegitu.

Di atas jalan raya sebenar, dan di tangan pemandu yang tidak biasa mengendalikan situasi seperti itu, kenderaan boleh saja hilang kawalan dan terbabas terus dengan kemungkinan berlakunya kecederaan kepada penumpang sangat tinggi. Ciri seperti VSA ini memang sukar dihargai oleh ramai orang ketika melihatnya di atas kertas, tetapi jika sudah terlibat dalam situasi sebenar, anda pasti akan berterima kasih kepadanya.

Justeru, bagaimana seharusnya kita melihat model kenderaan yang diposisikan oleh Honda untuk mengisi kekosongan penawaran di antara model CR-V dan HR-V ini? Secara peribadi, saya berasa yakin dengannya. Selepas meluangkan masa selama tiga hari menilai dan merasakan sendiri prestasi dan segala yang mampu ditawarkan oleh BR-V, ia mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding kelemahan.

Tetapi, kelemahan yang ada itu pula boleh ditimbal balik dengan pakej teknologi serta spesifikasi lengkap yang ditawarkan kepada pengguna. Tambahan pula, sebagai sebuah kenderaan untuk keluarga yang menawarkan segenap ciri berguna untuk menjamin keselesaan dan keselamatan, tidak hairanlah model ini berjaya meraih perhatian begitu ramai pelanggan.

Dari segi harga pula, model kenderaan keluarga dengan tujuh-tempat duduk yang mana lagi dapat memberikan setiap nilai dan ciri seperti ini dengan harga di bawah RM90,000? Penawaran keseluruhan BR-V saya fikir berada sedikit di hadapan dalam memberikan kelebihan kepada pengguna yang mengutamakan kedua-dua aspek keselesaan dan keselamatan.

Honda BR-V ke Pulau Pinang

Honda BR-V 1.5L V

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Hakim on Mar 12, 2017 at 2:26 am

    Andaikata saya mampu n masih buntu samada nak pilih BRV atau Sienta, apa cadangan tuan? Buat masa ni saya lebih cenderung dgn Sienta. Tapi nampak macam aspek keselamatan, BRV lebih meyakinkan.

    Like or Dislike: Thumb up 7 Thumb down 9
    • Kalau aspek keselamatan, berdasarkan spec. Mestilah Sienta lebih baik. Ada 3 airbag vs 2 airbag. Brek disk belakang. Video cam dll. BR-V ada byk kelebihan berbanding Sienta tp bkn di atas aspek keselamatan.

      Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
    • Apakata test drive kedua2 model. Bawa bersama seluruh keluarga. Boleh ‘feel’ penggunaan sebenar kedua2nya.

      Sy dh cuba kedua2nya. Pandangan saya…

      Power BRV >Sienta. Tp Sienta ada shiftronic, lebih ‘fun’ dan agak berguna.

      Safety Sienta > BRV. Atas kertas pon nmpk. Sienta lebih airbag, disc brek blkg etc.

      Comfort Sienta > BRV. Terasa absorber Sienta lebih mesra penumpang. Tp BRV ada leather seat. (Sila tanya penumpang bila test drive).

      NVH Sienta > BRV. Cabin Sienta terasa lebih senyàp dr BRV. Agak selesa disitu.

      Practicality Sienta > BRV. 3rd row seat yg boleh flat menyebabkan ruang dalaman lebih lapang berbanding BRV. Tp BRV ground clearance yg tinggi boleh meredah divider atau banjir kecik..hehe.

      Lain2 – BRV dlm linkungan harga yg sama dgn city. Tp dr segi kemasan nmpk city lebih baik dr BRV. Agak mengecewakan disitu. Amik masa dlm showroom…cuba perhatikan. Sienta pulak kerusi mcm Avanza. Mungkin fabric bagus. Tp tak pasti utk jln jauh selesa atau tidak.

      Tambahan…sy x dpt cuba test drive pd kelajuan tinggi sbb bwk famili. Mungkin pd kelajuan tinggi BRV lebih baik dr Sienta atas factor lebih HP dan juga absorber yg agak stiff…

      Lain2 mungkin pembaca lain sudah komen…sekian.

      Sekadar pandangan peribadi.

      Like or Dislike: Thumb up 13 Thumb down 2
  • Hakim on Mar 12, 2017 at 2:26 am

    Andaikata saya mampu n masih buntu samada nak pilih BRV atau Sienta, apa cadangan tuan? Buat masa ni saya lebih cenderung dgn Sienta. Tapi nampak macam aspek keselamatan, BRV lebih meyakinkan.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 2
    • Jal.toyota on Mar 12, 2017 at 11:33 pm

      Tuan.. sienta model yg terbaik.. krn ia model dgn lengkapi dgn 2 power door. Kite boleh lihat hanya kereta mewah saje ada.. tp toyota menyediakan d sienta.. juga mari dgn puch start buton.. 1.5 cc 7 speed. Disc break belakang. 1 kelebihan lagi pasal seat.. boleh lipat menjadi lega dan ‘flat’. Dan dashboard mari bersama cool box. Tuan buleh call sy untuk pertanyaan lanjut.

      Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 3
  • Dilema bohh

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Mnfmh on Mar 15, 2017 at 12:03 am

    Banding dgn toyota rush 7 seater?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 3
  • Yoke Ling on Mar 15, 2017 at 12:19 pm

    Naik BRV rasa beban macam tunggang badak yang tak larat lari. Lagipun just ada 2 airbags. Rasanya untuk seat byk2 , maybe toyota wish terus. Naik corolla rasa puas luas, 7 airbags, banyaaak free gift tapi rasa macam x stabil goyang2. Naik civic memang pemanduan paling sedap, rasa tegap dan stabil tapi kesian org duduk seat belakang sakit tulang belakang, sempit dan x sesuai duduk 3 org seat belakang.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 6
  • Jimie on May 07, 2017 at 9:16 pm

    Saya minat dgn Honda BRV varian V, baru, 5 thn warranty dan Wish 1.8 facelift baru tu thn 2011ke atas ada 8 air bag,paddle shift, luas tapi recon la xtau warranty ada atau tidak…dalam dilema…harga dekat2 sama je…xtau nk pilih yg mana…boleh bantu sy membuat pilihan yg terbaik…terima kasih…

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • along79 on Aug 06, 2017 at 11:02 pm

    saya n hsbnd pun dalam dilema….sama ada grand livina @ brv. ramai komplen livina aircond tak sampai sejuk di baris paling belakang….tp enjin mmg senyap….huhu….

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
    • cetot on Sep 17, 2017 at 10:58 am

      ha ah betol.. spoil yang ni kat livina… saya pengguna livina.. kite ni kat malaysia panas, kalau mpv 7 seater mmg wajib ada aircond kat belakang…. panass siot seat belakang, anak saya selalu complain panas..saya try duduk kat belakang mmg x sampai aircond terutama teghari

      Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 1
  • Salim on Aug 16, 2018 at 11:15 am

    Saya ambil masa 3 hari untuk membuat review berkenaan jenama Honda BR-V 1.5 ni.

    Saya ada berjumpa dengan jurujual berdekataan kediaman saya. BR-V dikategorikan sebagai kenderaan SUV dan crossover dengan 2Wheel.

    Bagi saya, untuk ciri-ciri seperti ini, sudah cukup untuk memandu dengan yakin dan selamat seramai 7 orang termasuk pemandu bagi perjalanan sejauh lebih kurang 300 KM dari Sandakan Ke Kota Kinabalyu

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required