Berkuatkuasa 1 September lalu, urusniaga memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan dengan enjin berkapasiti 2,000 cc dan ke atas di pejabat pos di seluruh Sabah (termasuk Labuan), Sarawak, dan Langkawi dihentikan. Arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini dikatakan bertujuan untuk membanteras tindakan segelintir pemandu yang sengaja cuba mengelak daripada membayar cukai jalan yang lebih tinggi.

Walau bagaimana pun, Kementerian Pengangkutan mengesahkan bersedia untuk meneliti semula arahan terbabit dan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, pada minggu ini.

“Ini cadangan JPJ bukan arahan Menteri Pengangkutan, saya faham JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak,” ujar Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.

Loke berkata, JPJ mengesan terdapat pemilik kenderaan 2,000 cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di kedua-dua negeri terbabit. Tambahnya lagi, pada masa sama kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira dalam isu ini kerana memerlukan saluran yang banyak untuk memperbaharui cukai jalan berikutan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ.

“Ketiadaan pejabat JPJ di sesetengah kawasan di kedua-dua negeri ini akan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari lokasi pejabat JPJ negeri atau cawangan,” sambungnya lagi.

Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tular di media sosial minggu lepas. Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan tindakan itu didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta dan menambah kesesakan di pejabat JPJ dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).