Pengguna motosikal kapasiti rendah dan sederhana kini mempunyai pilihan tayar baru apabila Michelin melancarkan model Pilot Street 2 untuk pasaran Malaysia. Ini adalah model tayar yang menggantikan Pilot Street dalam pasaran sekarang, dengan harga dalam lingkungan yang sama.

Pilot Street 2 datang dalam dua jenis bunga iaitu satu yang berlongkang di tengah dan hanya boleh digunakan pada roda hadapan sahaja manakala satu lagi mempunyai rekaan bunga berlainan dan boleh digunakan untuk tayar hadapan dan belakang. Pilihan saiz pula adalah untuk rim 10, 14, 16 dan 17 inci, dengan profail paling kecil 90/90, hingga paling besar 150/60.

Jika dibandingkan dengan model Pilot Street sebelum ini, Pilot Street 2 mempunyai kelebihan pada bahan silika yang digunakan, dan juga rekaan bunganya. Ia menyumbang kepada prestasi atas jalan basah yang lebih baik dan dengan rekaan sama masih mampu memberikan prestasi yang meyakinkan atas jalan kering.

Dalam ujian TUV yang dilakukan oleh Michelin dengan membandingkan dua model pesaing terdekatnya, Pilot Street 2 mencatat jarak perjalanan 25% lebih jauh dan mampu mencatat masa pusingan di litar 4.4 saat lebih laju. Ujian ini dilakukan menggunakan motosikal yang sama.

Bagi yang bermata tajam anda pasti dapat melihat bunga Pilot Street 2 yang digunakan pada tayar hadapan mungkin nampak seperti terbalik. Tetapi sebenarnya ia memang begitu, dan tayar ini mempunyai dua arah pusingan yang berbeza, bergantung sama ada ia digunakan pada roda belakang atau roda hadapan.

Michelin Pilot Street 2 akan mula berada di pengedar sah Michelin bermula bulan hadapan, namun setakat ini mereka masih belum dapat mengeluarkan harga sebenarnya. Apa yang diberitahu, harganya masih dalam lingkungan yang sama seperti Pilot Street 2, tetapi kini memberikan lebih nilai kepada pengguna.