Karnival MYPerodua Nation kembali lagi untuk 2019, dan tahun ini acara berkenaan akan berlangsung pada 20 hingga 22 September di Setia City Mall. Memasuki tahun ketiga, karnival tahunan ini bakal menampilkan semua perkara yang berkaitan dengan Perodua, dijangka bakal dikunjungi lebih kurang 25,000 pengunjung selama tiga hari penganjuran tersebut.
“Setelah berlangsung dengan jayanya di Shah Alam pada 2017 dan Sungai Petani pada 2018, MYPerodua Nation 2019 menjanjikan hujung minggu yang lebih menarik dan menyeronokkan buat semua. Dengan tawaran menarik bagi kenderaan baharu, termasuk tawaran istimewa untuk e-hailing, pelajar dan graduan, serta tawaran selepas jualan bagi pakej dan kit badan GearUp, pelincir, alat ganti dan aksesori, inilah masa dan tempat yang terbaik untuk menjadi pelanggan Perodua,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Untuk kemudahan pelanggan, seluruh rangkaian produk dan perkhidmatan Perodua akan turut berada di sana, termasuklah Perodua Total Protect Plus, Kenderaan Pra-Milik Perodua (POV), aksesori dan koleksi GearUp, alat ganti, minyak tulen Perodua dan program kesetiaan pelanggan, UFirst. Panel-panel kewangan dan insuran juga akan berada di sana untuk memudahkan proses pembelian.
Para pengunjung juga boleh membuat temu janji servis, memeriksa kenderaan mereka dengan Tweckbot secara percuma, memandu uji model-model terkini Perodua, merasai demonstrasi sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA), menerokai sejarah 26 tahun Perodua di ruang pameran Perodua Journey serta mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti untuk kanak-kanak pula seperti bungee trampolin, mewarna model tanah liat, perlumbaan realiti maya (VR) dan aktiviti drift basikal roda tiga.
“MYPerodua Nation memberi kami peluang untuk mendekati para pelanggan yang dihargai supaya kami boleh memenuhi keperluan dan kehendak mereka dengan lebih mendalam. Kami amat berbesar hati untuk bertemu para pengunjung sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung,” sambung Zainal lagi.
Buat masa ini, tiada pula maklumat lanjut mengenai Perodua Axia 2019 – yang telah pun mula dibuka tempahannya sejak 22 Ogos lalu – adakah ia bakal dipamerkan di sana mahu pun tidak. Tetapi pada penganjuran tahun 2017, Axia facelift telah ditampilkan buat pertama kalinya di MYPerodua Nation. Adakah ia bakal mengulangi sejarah yang sama?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.