Proton telah memulakan operasi pusat 3S terbarunya yang turut merupakan cawangan pengedar ketiga di Kuantan, Pahang. Premis terbaru berkenaan lengkap dengan penampilan identiti korporat (CI) terbaru Proton. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Pusat 3S dan 4S Proton di seluruh negara kini mencecah angka 102 cawangan.

Kemudahan 3S terbaru itu dikendalikan oleh Pesat Auto dan mempunyai keluasan bangunan 750 meter persegi, terdiri daripada enam ruang servis dan empat pengangkat. Pelaburan keseluruhan ialah RM2.3 juta, dan Pesat Auto meramalkan cawangan berkenaan akan dapat menaikkan jualan sebanyak 30%, sementara servis kenderaan akan meningkat sehingga 40%.

Pengarah Pesat Auto, Tee Keh Hock menjelaskan; “Suasana perniagaan sudah banyak berubah. Keperluan dan jangkaan pelanggan juga semakin berbeza. Pusat sehenti akan menjadi platform yang membolehkan kami untuk memenuhi permintaan para pelanggan, dan dalam masa yang sama, memperluas jumlah pelanggan.”

Berkaitan CI baru pula, Dr Li Chunrong menjelaskan; “Apa yang ingin kami capai ialah untuk pastikan setiap kali pelanggan melangkah masuk ke caawangan Proton, mereka segera akan dapat mengalami sendiri apa yang ditawarkan oleh jenama ini. Kami memberi penekanan terhadap layanan pelanggan, mendepani setiap isu secara profesional dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.”