Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur (JPJ KL) telah memaklumkan bakal menganjurkan siri kedua bagi satu lelongan awam yang melibatkan 100 buah kenderaan sita pelbagai jenis pada 9 Oktober ini di Dewan Merpati.

Menurut pengarahnya, Datuk Ismail Zawawi, lelongan tersebut membabitkan 66 buah kereta dan 34 motosikal yang sebelum ini disita atas pelbagai kesalahan termasuk dikategorikan sebagai klon.

“Orang ramai yang berminat terlibat dalam lelongan sebelum itu boleh hadir untuk membeli Dokumen Buku Lelong pada 25 September hingga 8 Oktober di Unit Kewangan JPJ WPKL bermula 8.30 pagi hingga 4 petang. Pemeriksaan awam kenderaan sita akan dibuat pada 7 hingga 8 Oktober bermula pukul 10 pagi hingga 3.30 petang,” ujarnya menerusi laporan Bernama.

Antara kenderaan yang akan dilelong dalam lelongan awam ini termasuk kereta jenama Honda Jazz, Toyota Wish, Mitsubishi Lancer dan motosikal Honda Wave. Jumlah kenderaan yang dilelong ini merupakan antara 344 buah kenderaan yang telah disita pihak JPJ WPKL bermula awal tahun ini hingga Ogos.

Tambahnya lagi, pihaknya mensasarkan kutipan sehingga RM1 juta diperolehi menyamai lelongan awam pada siri pertama April lalu. Sejumlah RM1,053,250 jumlah kutipan kenderaan sita berjaya direkodkan pada siri pertama membabitkan 101 buah kenderaan.