Sementara tunggu berita yang lebih menarik tentang Modenas berkaitan usahasama syarikat itu dengan Kawasaki yang khabarnya akan diumumkan kelak, Modenas telah melancarkan dua model motosikal terbaru untuk tahun 2019, iaitu Kriss 110 dan Pulsar NS160.

Yang telah kami tunjukkan daripada majlis pelancaran berkenaan sebelum ini ialah versi standard bagi kedua-dua motosikal berkenaan. Tetapi, ada lagi beberapa unit yang turut dipamerkan ketika itu bukan versi standard; ia dilengkapi dengan aksesori tambahan daripada Racing Boy dan juga Givi, seperti yang kami tunjukkan di sini.

Antara komponen yang ditukar pada unit pameran ini antaranya ialah tuil brek, tongkat, cermin sisi, tabung minyak brek serta beg dan kotak-kotak siri jelajah dari Givi. Ia memberi gambaran terhadap sisi praktikaliti serta keserasian motosikal-motosikal ini untuk dipertingkat dan diubah suai mengikut keperluan tunggangan pengguna.

Untuk makluman, Kriss 110 merupakan motosikal harian yang paling murah dijual di Malaysia, pada harga RM3,377 dan disasarkan kepada mereka yang mempunyai kekangan bajet untuk dibelanjakan terhadap motosikal, terutama bagi golongan muda. Ia menggunakan unit enjin dari Zhongshen, 110 cc yang menghasilkan sebanyak 4.9 kW (6.5 hp) pada 8000rpm dengan tork 6.7 Nm pada 6,000 rpm.

Sementara Pulsar NS160 pula merupakan penawaran dengan enjin yang lebih kecil berbanding Pulsa NS200 yang ada sebelum ini. Ia dilihat ingin memasuki pasaran motosikal dengan kapasiti enjin di bawah 150 cc, tetpai hadir dengan gaya naked street yang lebih berbaloi dari segi penawaran dan harganya. Ia menggunakan enjin satu silinder OHC suntikan bahan api Twin Spark DTS-i 160 cc, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 14.7 hp pada 8,500 rpm dan 13.99 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia dijual pada harga RM7,577.

Modenas Kriss 110 2019 dengan aksesori Racing Boy, Givi

Modenas Pulsar NS160 2019 dengan aksesori Racing Boy, Givi