Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mencadangkan saman berjumlah RM86.8 juta terhadap Grab Inc, Grab Car Sdn Bhd dan MyTeksi Sdn Bhd (Grab) kerena secara kolektif telah melanggar Akta Persaingan 2010, lapor The Star.

Di bawah akta berkenaan, sesebuah syarikat dilarang terlibat di dalam sebarang perlakuan yang menjurus kepada salah guna kedudukan dominan, baik secara berasingan mahupun kolektif, walaupun untuk menjadi sebuah syarikat monopoli atau pemain utama bukanlah satu kesalahan, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

Selesai siasatannya, MyCC mendapati bahawa Grab telah menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan klausa penyekat kepada pemandu-pemandu, menghalang mereka daripada mempromosi dan penyediakan khidmat pengiklanan bagi pesaing-pesaing Grab di dalam pasaran penyedia perkhidmatan e-hailing dan pengiklanan media transit.

CEO MyCC, Iskandar Ismail mencadangkan denda harian berjumlah RM15,000 dari tarikh hari ini bagi cadangan berkenaan sekiranya Grab gagal mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan seperti yang diarahkan oleh suruhanjaya itu. “Mereka mempunyai 30 hari untuk membentangkan pembelaan diri dan sehingga tarikh itu, denda RM15,000 akan dikenakan secara berterusan,” jelas Iskandar.

“Kami sudah selesaikan siasatan. Ini tindakan yang dicadangkan, belum muktamad lagi. Grab perlu diberikan peluang untuk membela diri, dan selepas itu baru kita putuskan sama ada memang berlaku perlanggaran akta atau sebaliknya,” ujar beliau. Semua keputusan akhir akan ditentukan selepas mendengar pembelaan daripada pihak Grab terlebih dahulu.

MyCC, yang bernaung di bawah KPDNHEP, sedang melihat untuk meminda undang-undang bagi memperkukuhkan bidang kuasanya ke atas perkara-perkara yang melibatkan penggabungan syarikat-syarikat perniagaan. Beliau menambah, siasatan itu telah dimulakan berikutan penggabungan antara Grab dan Uber pada Mac 2018, yang menyaksikan Uber mempunyai pegangan kepentingan 27.5% di dalam Grab selepas penjualan perniagaan Uber di Asia Tenggara.

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) sebelum itu telah mengeluarkan sama berjumlah US$9.5 juta (RM39.3 juta ketika itu) enam bulan selepas itu, dan mengarahkan Uber menjual kenderaan dari perniagaan sewaan tempatannya kepada mana-mana pesaing yang membuat tawaran berpatutan. Sementara Grab pula diperintahkan untuk menggugurkan syarat eksklusifnya dengan pemandu.