Selepas dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2016, Yamaha Avantiz kemudiannya diberikan perubahan warna pada tahun 2018. Sekarang, tiba waktu ia disegarkan kembali dan Hong Long Yamaha Motor telah memperkenalkan empat warna baru untuk skuter tersebut iaitu merah, biru, kelabu dan cyan.

Perincian lain motosikal ini masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk harganya iaitu RM5,536 tidak termasuk insurans. Untuk enjin, ia dikuasakan oleh unit BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

Rim yang digunakan pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan skuter ini adalah 96 kg.

Setiap pembelian Yamaha Avantiz 125 akan diberi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, dan model penampilan baru ini akan boleh didapati di kedai pengedar Yamaha bermula bulan ini.