Langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup perkhidmatan tambah nilai di semua lorong keluar di plaza tol Wilayah Tengah sejak 1 Ogos lalu membuahkan hasil apabila ia berjaya mengurangkan kesesakan trafik di lorong berkenaan sebanyak 48.2%.

Langkah PLUS menguatkuasakan ‘Tiada Tambah Nilai’ di Lorong keluar lebih dua bulan yang lalu menyaksikan pengurangan yang ketara dalam bilangan pelanggan lebuh raya yang mempunyai baki rendah atau baki tidak mencukupi yang cuba menambah nilai di lorong keluar di plaza-plaza tol di Wilayah Tengah iaitu plaza-plaza tol yang terletak di antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan.

Menurut PLIS, pada hari pertama langkah ini dilaksanakan, terdapat kira-kira 850,000 purata trafik harian di Wilayah Tengah, kesesakan harian yang berlaku di laluan keluar plaza tol adalah disebabkan 5 peratus pelanggan yang mempunyai baki yang tidak mencukupi. Walaupun jumlah 5 peratus nampak kecil, tetapi ia melibatkan sebanyak 42,500 kenderaan yang berhenti untuk menambah nilai, yang mana ia telah menyebabkan kesesakan trafik dan pembaziran masa yang memberi kesan kepada 95% pelanggan lain di lebuh raya PLUS.

Walau bagaimanapun, setelah hampir dua bulan dilaksanakan, PLUS telah berjaya merekodkan pengurangan jumlah kenderaan yang beratur untuk menambah nilai di plaza tol sebanyak 48.2%, dengan penurunan bilangan kenderaan kepada 22,000 kenderaan.

Melihat akan keberkesanan langkah ini dalam tujuan mengurangkan kesesakan trafik, PLUS bakal memperluaskan inisiatif sebegini di seluruh rangkaian lebuh di bawah seliannya di utara dan selatan dalam masa yang terdekat. Tarikh sebenar pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

Justeru, pelanggan PLUS dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang cukup sebelum memasuki lebuh raya. Perkhidmatan tambah nilai disediakan di lebih 10,000 pusat tambah nilai yang terdapat di seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat membeli-belah.