Aplikasi Ryde dilancarkan di Malaysia – platform perkongsian kenderaan tanpa berasaskan keuntungan

Aplikasi Ryde dilancarkan di Malaysia – platform perkongsian kenderaan tanpa berasaskan keuntungan

Aplikasi Ryde merupakan platform perkongsian kenderaan yang dibangunkan dan cukup popular di Singapura, kini telah pun dilancarkan di Malaysia. Mula diasaskan oleh Terence Zou sejak tahun 2015 di republik berkenaan, Ryde mensasarkan sistem perkongsian kenderaan yang menawarkan lebih banyak opsyen untuk pengangkutan membolehkan pengguna lebih menjimatkan kos, membina komuniti tersendiri selain dapat membantu menjaga alam sekitar yang lebih mampan dan juga mengurangkan kesesakan trafik.

Menurut Terence, RydePool ini membolehkan pemandu mendapatkan rakan ‘seperjalanan’ menerusi aplikasi berkenaan. Contohnya, jika anda mendaftar menerusi aplikasi ini sebagai pemandu, setiap hari anda berulang alik dari rumah di Shah Alam ke tempat kerja di Petaling Jaya. Sesiapa yang juga mendaftar menerusi aplikasi tersebut sebagai penumpang boleh ‘mengesan’ dan berhubung dengan anda bertujuan berkongsi kenderaan untuk ke destinasi yang sama. Malah pemandu dan penumpang boleh merancang perjalanan mereka bersama.

“Di Malaysia, perkhidmatan RydePool boleh digunakan mulai 1 November ini dan ia tidak berasaskan keuntungan. Ryde juga menawarkan bayaran sifar komisen kepada pemandu, ini bermakna, pemandu boleh memperoleh 100% tambang yang ditetapkan itu berdasarkan kos pengangkutan yang digunakan. Contohnya, kos minyak, tol dan lain-lain.

“Ini bukanlah konsep seperti perkhidmatan e-hailing, kerana tiada bayaran tertentu yang ditetapkan. Pemandu boleh meletakkan ‘harga’ ikut budi bicara dan penumpang juga boleh memilih mana-mana pemandu yang disenaraikan untuk perjalanan berkenaan. Penumpang juga boleh memberikan pemandu bayaran ‘tip’ sejurus sampai ke destinasi atau pun mengajak pemandu untuk pergi minum kopi. Aplikasi ini turut membenarkan bidaan kadar tambang, di mana penumpang boleh membida bayaran yang dikehendaki,” ujar Terence selaku CEO Ryde.

Buat masa ini, untuk Malaysia, aplikasi Ryde dilancarkan terlebih dahulu di Kuala Lumpur, sebelum diperluaskan di Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang. Selepas Malaysia, aplikasi Ryde juga bakal dikembangkan ke Sydney, Australia pada tahun 2020 sebelum memasuki Hong Kong.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Playstore dan Apple Apps Store, malah pendaftaran dibuka mulai hari ini. Jika di Singapura, penggunaannya telah mencecah ratusan ribu pengguna dan mempunyai ribuan pemandu berdaftar. Walau bagaimana pun, di republik berkenaan, Ryde menetapkan bayaran sebanyak 9% daripada kadar tambang yang diperoleh pemandu.

“Untuk masa ini, sebagai pengenalan, ia ditawarkan secara percuma di mana pemandu yang berdaftar tidak perlu membayar apa-apa kepada Ryde. Malah pemandu dan penumpang juga boleh membatalkan perjalanan tanpa dikenakan sebarang penalti. Cuma jika kadar pembatalan melebihi 20%, mereka akan berhadapan dengan ‘penggantungan’ (tidak dibenar menggunakan perkhidmatan terbabit) secara automatik,” jelasnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required