Bagi memastikan pelanggan yang menggunakan model-model lamanya masih mendapat bekalan alat ganti asli, Perodua telah melabur sebanyak RM7 juta untuk membeli mesin press stamping baharu bagi digunakan untuk salah satu kilang milik vendor mereka iaitu IQM Sdn Bhd yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

Selain dari mesin baharu ini, Perodua juga telah memindahkan semua acuan stamping (dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model-model lama mereka ke IQM. Langkah ini membolehkan Perodua mendapat lebih ruang di dalam kilang mereka sendiri yang terletak di Rawang, sekaligus meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung.

Bukan sahaja membekalkan segala kelengkapan, malah Perodua juga berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkenaan pengeluaran alat ganti model terdahulu bagi memastikan setiap komponen mempunyai kualiti yang sama seperti komponen-komponen asal.

“Perodua membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Satu, kami ingin terus menyokong para pemilik model-model terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat kami. Kerana selagi anda memiliki kenderaan Perodua biar lama mahupun baharu sentiasa di sisi anda akan kami berada, ” kata Presiden dan CEO Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Dua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia. Akhirnya, ia mewakili komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya kearah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan,” tambahnya lagi.

Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-model terdahulu. Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.

IQM pula telah dilantik sebagai vendor Perodua sejak 2002. la kini membekalkan komponen stamping logam, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.