Mazda dakwa enjin diesel lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya dengan bateri berkapasiti besar

Mazda dakwa enjin diesel lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya dengan bateri berkapasiti besar

Ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show (TMS) 2019 minggu lalu, Mazda telah mendedahkan model elektrik pertamanya iaitu crossover berasaskan adik-beradik Mazda 3, digelar sebagai MX-30. Apa yang menjadi bualan dalam industri adalah, model berkenaan hanya dibekalkan dengan bateri berkapasiti 35.5 kWj yang hanya mampu memberikan jarak gerak sekitar 209 km untuk satu cas penuh.

Berbanding model-model elektrik produksi arus perdana lain, kapasiti bateri dan jarak gerak yang ditampilkan oleh MX-30 ini nyata lebih rendah. Nissan Leaf misalnya, ia diberikan bateri dengan kapasiti 40 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 311 km, dan model lebih berkuasa Leaf e+ pula menerima bateri 62 kWj dengan jarak gerak sejauh 400 km.

Kenapa Mazda hanya membekalkan bateri dengan kapasiti kecil kepada MX-30? Adakah ia kerana mahu menjimatkan kos? Selepas melihat pendedahan MX-30 di TMS 2019, penulis diberi peluang oleh wakil Mazda di Malaysia, Bermaz Motor untuk bertemu dengan Hidetoshi Kudo iaitu pegawai eksekutif untuk divisi Pentadbiran R&D, Strategi Produk dan Pusat Penyelidikan Teknikal Mazda di pejabat urusan Mazda Tokyo bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan model baharu tersebut.

Menurut Kudo-san, alasan Mazda mengapa mereka menggunakan bateri berkapasiti kecil adalah kerana untuk balik pada tujuan asal kereta elektrik iaitu meminimakan perlepasan karbon untuk memelihara alam sekitar. Jelasnya, dengan penggunaan bateri kapasiti besar sebenarnya adalah lebih ‘kotor’ berbanding memnggunakan enjin diesel!

Mazda dakwa enjin diesel lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya dengan bateri berkapasiti besar

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Mazda tidak mengukur tahap pelepasan karbon dioksida (CO2) dari tangki bahan api sesebuah kereta (tank-to-wheel), sebaliknya mereka mengiranya dari awal iaitu bermula dari proses produksi dan juga bagaimana tenaga elektri tersebut dijana di loji (well-to-wheel).

Menerusi kaedah well-to-wheel berkenaan, pencemaran bukan diukur semasa kenderaan bergerak, malah turut melibatkan proses mengekstrak bahan api, pembuatan dan juga penghantaran. Selain dari pembuatan bateri lithium-ion itu sendiri yang memerlukan bahan nadir bumi, Mazda turut mengambil kira merit terhadap ekologi kenderaan EV yang mendapat tenaganya menerusi pengecas yang mendapatkan tenaga elektrik dari penjana bahan api fosil seperti seperti arang batu, petroleum dan gas asli.

Jadi menerusi pengiraan yang dibuat, jumlah pelepasan karbon dioksida dari bateri berkuasa 35.5 kWj berdasarkan janaan kuasa elektrik dengan kaedah campuran di Eropah adalah lebih kurang sama dengan pelepasan CO2 pada Mazda 3 yang menggunakan enjin diesel SkyActiv-D. Manakala sekiranya mereka menggunakan bateri berkapasiti 95 kWj, jumlah pelepasan karbon dari elektrik yang dijana di loji adalah jauh lebih tinggi dari enjin diesel berkenaan.

Persoalan seterusnya, adakah jarak gerak 209 km tersebut akan memberikan masalah kepada pengguna kelak? Menurut Kudo-San lagi, menerusi kajian yang dijalankan mendapati pengguna kereta elektrik di Eropah menggunakan kereta mereka dalam jarak purata 50 km setiap hari, dan jarak yang dibekalkan oleh bateri 35.5 kWj tersebut adalah lebih dari cukup.

Mazda dakwa enjin diesel lebih bersih dari kereta elektrik sepenuhnya dengan bateri berkapasiti besar

rbthdr

Hidetoshi Kudo

Mazda juga bakal menghasilkan model MX-30 yang boleh dipandu sejauh mungkin seperti kereta petrol, tetapi masih digerakkan oleh motor elektrik, iaitu model hibrid gabungan motor elektrik dan juga enjin penambah jarak (range extender) petrol wankel rotary. Menerusi model ini, bateri akan di cas semula menggunakan enjin rotary kompak berkenaan, bertindak seperti ‘generator pasar malam’, manakala roda digerakkan terus oleh motor elektrik sama seperti versi elektrik sepenuhnya ini.

Mazda MX-30 yang didedahkan ketika TMS 2019 ini digerakkan oleh penjana dengan kuasa elektrik sepenuhnya digelar e-SkyActiv, menerima motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 141 hp (105 kW) dan tork maksima 265 Nm. Bateri lithium ion yang dibekalkan dibina dengan sel-sel prismatik yang membolehkan ia di cas semula sama ada menggunakan pengecas AC atau DC. Untuk pengecas AC, ia mampu menerima input maksima 6.6 kWj menerusi sambungan Type 2, manakala pengecas DC pula menggunakan sambungan CCS dengan input 50-kW bagi membolehkan ia mencapai 80% cas dalam masa 30 hingga 40 minit.

Crossover ini juga menerima sistem seakan G-Vectoring Control (GVC) pada model ICE biasa, digelar sebagai e-GVC Plus pada versi elektrik sepenuhnya ini. Menurut Mazda, sistem ini “menggunakan karekteristik tork dari motor elektrik untuk mengoptimakan pemindahan beban depan-belakang di bawah kadar lebih lebar pada senario penggunaan”.

Dari segi rekaan, ia masih nampak ada kaitan dengan Mazda 3 hatchback dan juga crossover CX-30 kerana menggunakan platform yang sama, tetapi menampilkan dimensi sedikit berbeza kerana bateri yang diletakkan pada bahagian lantai, dan juga tiada enjin petrol pada but hadapan.

MX-30 juga diberikan perincian unik hanya untuknya seperti pintu jenis ‘suicide‘ (pintu belakang dibuka terbalik) seperti pada kereta sport wankel rotary Mazda RX-8 yang digelar sebagai “freestyle door”, serta kemasan-kemasan dalaman yang diperbuat dari bahan mesra alam seperti ‘cork’ iaitu bahan gabus yang sama seperti gabus yang digunakan pada penutup botol minuman keras seperti wain atau jus sparkling.

Crossover elektrik sepenuhnya MX-30 ini akan mula dijual di UK pada 2021 dengan harga di bawah 30,000 pound, tidak termasuk pelbagai insentif yang ditawarkan di negara tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • diesel on Oct 30, 2019 at 8:52 pm

    Yeah mazda, spot on…long live diesels!! These electric cars are soo pondan & more polluting actually when u consider the full life cycle

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required