Triumph Street Triple RS 765 2020 sudah sampai M’sia – harga didedah hujung minggu ini, mungkin kekal

Triumph Street Triple RS 765 2020 sudah sampai M’sia – harga didedah hujung minggu ini, mungkin kekal

Triumph Street Triple 765RS 2020 baru sahaja didedahkan bulan lepas, tapi kini ia sudah pun berada di negara kita melalui pengedar rasmi jenama itu, Fast Bikes Sdn Bhd. Menurut wakil syarikat itu, tempahan sudah pun dibuka, tetapi harga hanya akan didedahkan hujung minggu ini (kemungkinan besar tidak berbeza dengan model sebelum ini)

Perubahan paling jelas untuk model tahun 2020 ini adalah bentuk lampu LED hadapannya yang lebih kecil serta DRL LED yang berbentuk seperti kening. Enjin tiga silinder 765 cc yang sama masih digunakan, malah kuasa maksimum juga hampir sama iaitu 123 PS pada 11,750 rpm dan 79 Nm tork pada 9,350 rpm, tetapi penunggang akan dapat menikmati sembilan peratus lebih kuasa pada tahap rpm pertengahan.

Maklum balas pendikit diperbaiki, dengan kini ia boleh dipulas dengan tujuh peratus kurang usaha. Turut dipasang adalah ekzos dengan dua catalytic converter, yang bukan sahaja mengurangkan emisi, tetapi juga membenarkan aliran udara ekzos yang lebih lancar. Untuk memberikan keseimbangan antara bunyi intake dan juga bunyi ekzos, sistem pengudaraan masuk diubah sedikit.

Kotak gear model baru ini turut diusik untuk memberikan penukaran lebih lancar dan mengurangkan berat, manakala gear satu dan dua pula lebih pendek untuk memberikan pecutan lebih baik. Dalam keadaan standard, model ini datang terus dengan quickshifter.

Sekali imbas, panel paparan TFT-LCD berwarna penuh pada model ini nampak sama, tapi sebenarnya ia mempunyai empat gaya paparan dan empat warna yang berbeza. Sudut skrin juga boleh dilaras seperti Speed Triple 1050 untuk menyesuaikannya dengan ketinggian penunggang yang berbeza.

Melalui panel paparan ini juga penunggang dapat menikmati sistem sambungan baru. Apabila disambungkan dengan modul Bluetooth yang dijual secara berasingan, ia boleh mengawal kamera GoPro, menunjukkan navigasi dan mengawal telefon serta muzik menggunakan butang pada bahagian pemegang.

Triumph Street Triple RS 765 2020 sudah sampai M’sia – harga didedah hujung minggu ini, mungkin kekal

Kelengkapan lain 765RS 2020 ini masih sama seperti sebelumnya termasuk angkup brek Brembo M50 dengan cakera 310 mm di hadapan, angkup satu piston dan cakera 220 mm di belakang, serta fork Showa Big Piston Forks (BPF) dan monoshock Ohlins STX40 yang boleh dilaras sepenuhnya. Tayar standard adalah Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.

Dua warna disediakan untuk Street Triple 765RS 2020 ini iaitu Matte Jet Black dengan pelekat Aluminium Silver dan Kuning, atau Silver Ice dengan pelekat Diablo Red dan Aluminium Silver – rim dicat merah menggunakan tangan. Seperti biasa, pemilik juga boleh memilih pelbagai aksesori yang disediakan oleh Triumph untuk motosikal ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required