Kita sudah pun memasuki suku keempat dan terakhir untuk 2019, jadi inilah masanya melihat pencapaian industri automotif tempatan bagi tiga suku pertama tahun ini, berdasarkan data jualan bulanan yang diedarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dan kita boleh lihat prestasi jualan bagi setiap jenama dan juga perbandingannya dengan tempoh yang sama pada 2018.

Bagi jumlah keseluruhan indusri (TIV) hingga ke September dilihat agak menyusut sedikit berbanding 2018 iaitu menurun sebanyak 2.63% (atau 11,864 unit), dengan 442,991 unit kenderaan dihantar pada sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 454,971 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Faktor utama yang menyaksikan penyusutan bagi tiga suku pertama 2019 adalah pada Jun hingga Ogos 2018, banyak jenama melonjak jualannya disebabkan sifar-GST yang mendorong orang ramai membeli kenderaan baharu.

Walau bagaimana pun, dengan data prestasi jualan kenderaan bagi 2019, Perodua dilihat memacu angka yang memberangsangkan. Dalam tempoh sembilan bulan pertama ini, Perodua berjaya mencatat jualan sebanyak 178,754 unit sehingga suku ketiga 2019 iaitu meningkat sebanyak 6.27% berbanding 168,203 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Manakala perkongsian pasaran juga menunjukkan peningkatan sebanyak 40.4% berbanding 37% pada 2018.

Manakala Proton juga menunjukkan kecemerlangan dalam jualan dengan mencatatkan sejumlah 69,920 unit setakat suku ketiga 2019, iaitu meningkat sebanyak 42.02% berbanding 49,233 unit yang terjual bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Ia merupakan rekod yang terbaik untuk meletakkan Proton di tangga kedua secara keseluruhannya, malah perkongsian pasaran juga meningkat ke 15.8% berbanding 10.8% sebelum ini. Manakala Honda pula terpaksa berpuas hati di tangga ketiga dengan penyusutan sebanyak 18.51% iaitu hanya terjual 65,123 unit sehingga suku ketiga 2019 berbanding 79,915 unit bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Hanya empat jenama kenderaan penumpang yang menunjukkan peningkatan pada suku ketiga, ini termasuklah Volvo (+29.38%) dan Renault (+14.58%). Manakala jenama yang menyusut jualannya termasuklah Toyota (-9.57%), Nissan (-24.39%), Mazda (-19.01%), Volkswagen (-28.23%), Kia (-28.68%), Subaru (-51.46%) dan Hyundai (-29.84%).

Bagi segmen premium, nampak gayanya nasib menyebelahi Volvo yang berjaya menunjukkan peningkatan jualan berbanding Mercedes (-25.78%) dan BMW (-18.05%). Walau bagaimana pun, Volvo hanya mampu menjual sebanyak 1,374 unit berbanding Mercedes dengan 7,764 unit dan BMW pula 7,360 unit bagi suku ketiga 2019.