Sedikit tentang perkembangan projek Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link (RTS). Malaysia telah mengambil keputusan untuk meneruskan projek pembinaan kemudahan ini, tetapi dengan pengurangan kos sebanyak RM3.16 bilion yang dicapai selepas penilaian semula proposal berkenaan dengan pihak Singapura.

Turut diumumkan ialah bahawa Malaysia meminta lanjutan tempoh penangguhan berkenaan keada 30 April 2020, dan Singapura bersetuju dengan permintaan itu. Berdasarkan laporan berita, kedua-dua negara akan menandatangani tiga perjanjian baru berkaitan projek itu tahun depan.

RTS juga akan beralih kepada sistem transit aliran ringan (LRT) berbanding sistem transit aliran massa (MRT) seperti yang dicadangkan awalnya, lapor New Straits Times. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan perubahan itu adalah berikutan penilaian semula yang dijalankan, dan kerejaan telah mencadangkan peralihan itu kepada Singapura untuk dibincangkan.

“Kami telah meneliti spesifikasi projek berkenaan dan mempertimbangkan sistem LRT, sama seperti yang digunakan di Kuala Lumpur, dengan harapan kerja-kerja penyelenggaraan boleh dijalankan di Malaysia,” ujar beliau.

“Awalnya, projek itu dicadang untuk menggunakan sistem MRT, sama seperti yang ada di Singapura. Bagaimanapun, kami mendapait bahawa sistem LRT sudah memadai untuk projek itu, yang melibatkan hanya dua stesen. Bukit Chagar di Johor dan Woodlands di Singapura. Penumpang yang turut di Woodlands akan terhubung terus dengan sistem MRT Singapura,” tambah beliau lagi.

Projek RTS disasarkan untuk mengurangkan kesesakan harian yang berlaku di laluan dua negara ini. Ia awalnya dicadangkan untuk mula dibangunkan pada thaun ini dan dijangka siap pada 2024. Dengan landasan sepanjang 4 km, ia mampu untuk membawa 10,000 penumpang setiap jam, dan berfungsi sebagai pilihan lain kepada tambak sedia ada bagi kira-kira 80,000 hingga 10,000 orang yang berulang-alik setiap hari.