MINI Clubman dan Countryman John Cooper Works tiba dalam pasaran Malaysia – harga RM359k, RM379k

MINI Clubman dan Countryman John Cooper Works tiba dalam pasaran Malaysia – harga RM359k, RM379k

Pengenalan MINI Clubman F54 facelift hari ini turut menyaksikan ketibaan dua lagi model John Cooper Works (JCW) iaitu MINI Clubman dan juga MINI Countryman. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo dengan kuasa 302 hp pada 5,000 hingga 6,250 rpm dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin JCW sama sebelum ini, ia mencatat peningkatan 74 hp dan 100 Nm tork.

Dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4, Clubman JCW boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat (sebelum ini 6.3 saat) manakala Countryman JCW pula boleh melakukannya dalam masa 5.1 saat (sebelum ini 6.6 saat). Laju maksimum kedua-duanya dihadkan pada 250 km/j.

Peningkatan prestasi ini datang daripada perubahan yang dilakukan pada enjin itu sendiri termasuk penggunaan pengecas turbo yang lebih besar, crankshaft yang diperkuat serta saluran udara yang dibuat semula. Untuk memastikan ia dapat bertahan, sistem penyejukan juga dipertingkat.

Dua model ini juga mendapat sistem ekzos sport khas untuknya, serta sistem brek sport yang direka semula dengan angkup yang lebih besar. Pada bahagian luar, antara perubahannya adalah bampar serta gril bawah yang direka semula, serta splitter yang lebih besar pada spoiler hadapan. Bukaan udara yang lebih besar pada bahagian tepi bampar menambahkan kecekapan sistem penyejukan.

Sama seperti Clubman biasa, versi JCW ini juga mendapat rekaan gril honeycomb serta lampu LED yang baru. Pada bahagian belakang, bampar serta lampu LED dengan pencahayaan Union Jack direka semula manakala muncung ekzos juga sudah bertambah besar – kini 95 mm. Countryman JCW juga mendapat kemasan pada bampar dengan bukaan udara di bahagian tepi untuk menyejukkan enjin baru ini, bersama muncung ekzos 85 mm.

Kedua-dua model JCW ini menggunakan rekaan rim yang sama, iaitu unit JCW Circuit Spoke 19 inci dan kedudukannya dijadikan lebih rendah dengan penggunaan suspensi sport JCW. Bagi Countryman JCW, ia mendapat tambahan sistem suspensi adaptif.

MINI Clubman dan Countryman John Cooper Works tiba dalam pasaran Malaysia – harga RM359k, RM379k

Pada bahagian dalam, kedua-dua model JCW baru ini menggunakan balutan kulit Carbon Black Dinamica, kemasan plastik Piano Black serta lampu suasana yang boleh ditukar kepada 12 warna. Selain lencana JCW pada tepi pintu, model ini juga datang dengan bumbung panoramik.

Kelengkapan standard lain yang diberikan pada kedua-dua varian adalah termasuk head-up display serta skrin 8.8 inci Navigation System dengan fungsi pembahagi skrin yang membolehkan dua peta dipaparkan pada masa sama. Turut diberi adalah sistem bunyi Harman Kardon 360-watt, pintu but elektrik, pendingin hawa automatik dua zon serta Comfort Access.

Sistem sambungan kereta ini turut dipertingkat dengan kini mempunyai kad SIM 4G binaan dalam dan MINI Connected App yang membenarkan penggunaan fungsi kawalan jauh, Apple CarPlay, Concierge serta MINI Online.

Pada sistem keselamatan dan bantuan pemandu terdapat beg udara depan dan sisi untuk dua tempat duduk hadapan, empat beg udara kepala, Park Distance Control depan dan belakang serta kamera pandangan belakang. Sama seperti Clubman biasa, kereta ini masih tidak dilengkapi dengan Autonomous Emergency Braking.

Untuk warna, pilihan yang disediakan untuk Clubman JCW adalah Rebel Green, White Silver, Midnight Black dan Chili Red manakala untuk Countryman JCW adalah Rebel Green, Light White, Midnight Black dan Chili Red.

MINI Clubman John Cooper Works dijual pada harga RM358,888 manakala Countryman John Cooper Works dijual pada RM378,888 tidak termasuk insurans. Kedua-duanya juga datang dengan jaminan empat tahun tanpa had batuan dan servis berkala percuma.

GALERI: MINI Clubman John Cooper Works

GALERI: MINI Countryman John Cooper Works

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required