Sejauh mana Kia Picanto 1.2L GT Line 2019 ini berbaloi? Saiz dalam segmen A kompak, tetapi harga dalam segmen B. Untuk siapa model ini sesuai? Kami cuba menjawab semua pertanyaan di dalam video ini. Kia Picanto sejak awal menjadi pilihan lain yang agak menarik bagi mereka-mereka yang mencari kereta dalam segmen A dan juga B.

Secara visual, varian GT-Line hadir dengan kelainan rekaan pada bampar depan dan belakang – lebih sporty serta rim 16 inci yang lebih besar, dan dibalut tayar 195/45. Lampu kabus telah bertukar tempat, dan ia mempunyai jalur merah di sekeliling badan dan juga dua muncung ekzos di belakang.

Model ini menggunakan enjin empat silinder NA Kappa II 1.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan. Kia Picanto GT-Line ini juga ada dilengkapi dengan ciri brek kecemasan automatik (AEB). Selain itu, ia turut hadir dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, ABS dan bantuan mula mendaki (HSA).

Untuk penelitian lanjut, tonton video yang kami sediakan ini dan lihat sejauh mana penawaran pada Kia Picanto 1.2L GT Line dengan harga RM59,888 ini mampu memenuhi atau menepati keperluan anda.