Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran tegas terhadap pemilik kenderaan yang meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah sehingga menyebabkan kemalangan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata pemilik kenderaan berdepan beberapa tindakan termasuk ditahan dan digantung lesen memandu serta akan dikenakan hukuman lebih berat sekiranya kenderaan milik mereka terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawa.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa kes kemalangan membabitkan pemandu warga asing meminjam kenderaan penduduk tempatan sehingga melibatkan kematian pengguna jalan raya lain. Saya nak beri amaran tegas kepada pemilik kenderaan, mereka perlu bertanggungjawab sekiranya kenderaan mereka yang dipandu terlibat dengan kemalangan serta jangan sesekali meminjamkan atau membenarkan warga asing tanpa lesen sah memandu kenderaan anda.

“Sekiranya terlibat dengan kemalangan, pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan tegas seperti ditahan atau digantung lesen memandu. Selain itu, pemandu juga boleh didakwa mengikut kesalahan kanun jenayah iaitu dengan cuai mendatangkan kematian (jika sesuai). Kita memandang serius dengan kes-kes seperti ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Baru-baru ini, di Pulau Pinang, terdapat dua kes kemalangan berasingan yang melibatkan seorang mangsa meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah selepas dilanggar oleh dua warga asing, masing-masing dari China dan Vietnam. Mangsa yang meninggal dunia dipercayai telah dirempuh kereta dipandu seorang wanita warga China yang dipercayai mabuk. Manakala seorang lelaki tempatan yang cedera parah pula dilanggar oleh warga Vietnam ketika mangsa yang juga pemandu lori sampah syarikat pembersihan sedang mencuci bahagian belakang kenderaan itu yang diparkir di bahu jalan.