Michelin telah mengumumkan pelantikan Tushar Gupta sebagai Pengarah Urusan baru bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei. Beliau menggantikan Pascal Nouvellon yang dinaikkan pangkat untuk menjawat peranan global di ibu pejabat Michelin, Perancis. Pelantikan tersebut telah berkuat kuasa sejak 1 September 2019.

Berbekalkan ijazah perakaunan bertauliah dan MBA dari Sekolah Perniagaan Fuqua, Universiti Duke, Tushar Gupta menyertai Michelin Group pada tahun 2010 sebagai Pengurus Pembangunan Korporat bagi Asia Tenggara, Australia dan India. Pada tahun 2012, beliau memegang jawatan Pengarah Pembangunan Korporat Global di Clermont Ferrand, Perancis.

Beliau kemudian menjawat sebagai Pengarah Zon, Michelin Aviation Tyres, Asia Pasifik pada tahun 2016 sehingga Julai tahun ini, di mana beliau telah membawa kejayaan dalam perniagaan tayar pesawat di Asia melalui campur tangan strategik, penstrukturan semula dan perkhidmatan pelanggan yang dipertingkat.

“Setelah menjadi sebahagian daripada keluarga Michelin sejak hampir sedekad, saya berasa teruja dengan peluang yang diberi ini untuk membawa organisasi kami lebih jauh ke hadapan dalam industri automotif dan tayar – terutamanya di Malaysia yang memperlihatkan pasaran kukuh menerusi jenama-jenama kami seperti Michelin, BFGoodrich dan TYREPLUS,” jelas beliau.

Berbekalkan 15 tahun pengalaman dalam pelbagai industri termasuk kimia, automotif dan penerbangan, beliau akan memastikan Michelin terus mendukung polisi dan strategi yang memberi tumpuan utama kepada pengguna.