Citroen sah tarik diri dari WRC bermula musim 2020

Citroen sah tarik diri dari WRC bermula musim 2020

Setelah mempamerkan prestasi tidak memberangsangkan dan berberapa drama timbul antara pasukan dan pemandu utamanya, Sebastien Ogier dalam musim ini, Citroen akhirnya membuat pengumuman bahawa mereka akan menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia FIA (WRC) bermula musim hadapan. Ini bermaksud untuk musim 2020, hanya tiga jenama yang akan terus bersaing; dua dari Asia iaitu Hyundai dan Toyota, serta Ford dari Eropah.

Dengan keputusan ini, jentera Citroen C3 WRC yang sepatutnya digunakan sehingga akhir musim 2020 hanya sempat digunakan selama dua musim. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara ini, CEO Citroen Linda Jackson berterima kasih kepada pasukan Citroen Racing untuk ‘kesungguhan dan komitmen’ yang telah dicurahkan mereka.

“Sebahagian dari DNA Citroen adalah berhubung rapat dengan rali dan kita berbangga sebagai antara jenama yang paling banyak menempa nama dalam sejarah WRC dengan 102 kemenangan dan lapan kali dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar,” katanya.

Walaupun pasukan utama sudah tidak bertanding, Citroen masih terlibat dalam program perlumbaan pelanggan dalam sukan rali, menerusi jentera C3 R5 yang dibekalkan kepada pasukan-pasukan persendirian.

Citroen sah tarik diri dari WRC bermula musim 2020

“Terhasil dari pengalaman dan kompetensi pasukan PSA Motorsport, aktiviti perlumbaan pelanggan Citroen akan diperkasa pada 2020, dengan sokongan dan komitmen yang diperkuat kearah C3 R5 pelanggan di seluruh dunia,” jelas Jackson.

Beliau turut menambah bahawa dengan pengunduran dari WRC ini membolehkan Citroen memperkuatkan fokus mereka terhadap strategi jenama, dengan pelancaran kereta-kereta berteknologi elektrik generasi baharu untuk tahun 2020.

Langkah ini juga menyaksikan dua pemandu mereka, Ogier dan Esapekka Lappi bebas dari sebarang kontrak dan bebas untuk menerima tawaran dari mana-mana pasukan. Untuk Ogier, ini kali kedua pasukan yang sedang disertainya menarik diri dari WRC – kali pertama apabila Volkswagen membuat perkara yang sama pada penghujung musim 2016.

Cuma bezanya, karier Ogier berada dipuncak ketika bersama VW dengan rekod juara empat-tahun berturut-turut dipegang waktu itu. Namun ketika bersama Citroen, pelbagai masalah dihadapi menyebabkan kejuaraan yang dipegang selama enam-tahun berturut-turut kini telah dirampas oleh Ott Tanak dari pasukan Toyota Gazoo Racing, dan Ogier terperosok di tempat ketiga tahun ini.

Ada laporan juga yang menyebut antara faktor Citroen menarik diri dari WRC adalah kerana Ogier merancang untuk menamatkan kontraknya lebih awal, dan mereka tidak mempunyai pemandu utama yang boleh menjanjikan kejuaraan untuk musim hadapan.

“Apabila mereka kata tiada lagi pemandu lain yang ada, pada saat ini, saya rasa tidak dihormati untuk rakan sepasukan lain dalam sukan ini,” kata Ogier kepada portal Autosport dan menyifatkan komunikasi sentiasa menjadi masalah dalam pasukan Citroen.

Autosport turut bertanya kenapa Ogier membuat keputusan untuk meninggalkan Citroen lebih awal, jawapan pelumba Perancis itu:”Satu dari perkara utama yang mendorong kepada keputusan ini adalah perkembangan rentak pembangunan kereta dan kelajuan kereta berkenaan, adalah tidak cukup”.

“Tahun ini juga, kami tidak dapat bersetuju bahawa pembangunan yang di bawa tidak cukup dan prestasi kami adalah di bawah berbanding pesaing lain dan ini bukan hanya saya yang cakap – semua orang yang memandu kereta ini, saya rasa, akan rasa benda yang sama.”

Turut dilaporkan, Ogier akan berpindah ke pasukan Toyota untuk musim hadapan untuk mengisi tempat yang dikosongkan oleh Ott Tanak setelah pemandu dari Estonia tersebut mengesahkan kontraknya bersama pasukan Hyundai selama dua-tahun bermula musim hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required