Bagi tahun 2019, Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Kumpulan Prasarana) berjaya mencapai lebih 1.4 juta penumpang sehari menggunakan perkhidmatan pengangkutan awamnya di seluruh negara. Ia menunjukkan peningkatan berbanding sekitar 900,000 sehari pada tahun lalu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, pencapaian itu didorong minat dan kecenderungan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin meningkat dan memberangsangkan.

“Prasarana mengubah wajah sistem pengangkutan awam negara dan memacu gaya hidup baru warga kota dengan mempromosikan pembangunan berorientasikan transit (TOD). Hari ini, Kumpulan Prasarana mengendalikan lebih 1.4 juta penumpang sehari termasuk pengguna bas di Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Kamunting dan Manjung di Perak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Tambahnya lagi, Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mencapai 329,406 penumpang sehari diikuti LRT laluan Ampang/Sri Petaling (213,158 penumpang) sementara 215,833 penumpang menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang. Manakala bagi laluan monorel ialah 40,094 penumpang, Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway (16,444), bas henti-henti RapidKL (317,803) dan bas perantara MRT (56,952).

“Walaupun jumlah capaian penumpang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, namun masih jauh daripada sasaran 30% nisbah mod pengangkutan awam menjelang 2030,” katanya lagi.