Bagi menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Petronas hari ini melancarkan kempen berkenaan di lebih 700 cawangan Kedai Mesra miliknya seluruh negara bermula hari ini.

Menerusi kempen ini, Petronas akan bersama-sama mempromosikan pelbagai produk F&B keluaran tempatan di Kedai Mesra termasuk kerepek, kek, jus dan juga hidangan-hidangan tempatan seperti nasi lemak dan mee goreng. Petronas juga turut menyediakan rak khas di 100 stesen terpilih bagi mengetengahkan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia.

“Kami gembira kerana mendapat sokongan dari Petronas dengan menawarkan peluang kepada warga IKS bagi memasarkan produk tempatan mereka dalam masa yang sama mewujudkan kesedaran yang lebih besar dalam kempen ini. Paling utama, kami mahu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan penjualan produk tempatan. Ini turut membantu pertumbuhan perniagaan usahawan tempatan, terutamanya dalam pasaran yang sangat kompetitif ini,” kata Menteri Perdagangan Tempatan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Ini bukan pertama kali Petronas mempromosikan produk-produk tempatan. Malah ia sebenarnya selari dengan program IKS yang telah dijalankan lebih 25 tahun lalu bagi menyokong perniagaan-perniagaan tempatan. Sehingga kini, Petronas mempunyai lebih 350 vendor tempatan yang membekalkan barangan untuk cawangan-cawangan Kedai Mesra mereka.

Dalam majlis perasmian pagi tadi yang berlangsung di Petronas Jalan Kolam Air Lama, enam vendor tempatan telah dipilih oleh Petronas bagi mempamerkan produk-produk mereka – kerepek yang dihasilkan Akuku Food Industry dan Perniagaan Hadeen Enterprise, Sarang Burung FG Walet dari Zhafou Trading, kek chocolate moist oleh Anis Food, pelbagai jenis sos oleh Mama G Marketing and ais krim popsicles dibuat dari buah-buahan segar oleh Doluvo.

Selain itu, Petronas turut membawa pelbagai juadah juga dari vendor tempatan seperti Nasi Lemak Saleha, kuih-muih dari Sri Talamaz, pelbagai sandwich dan kotak makan tengah hari oleh Mas Awana dan juga mee goreng dari Nora Delights.

“Sebagai syarikat petroleum nasional, kami sentiasa menyokong dan mempromosikan perniagaan-perniagaan tempatan dan memperkasakan ekonomi domestik. Di bawah program IKS, kami telah menolong banyak vendor tempatan untuk membolehkan produk mereka menembusi pasaran yang lebih luas menerusi jaringan stesen-stesen kami. Sebahagian besar vendor-vendor ini telah pun berada dalam pasaran di lebih dari 400 Kedai Mesra kami seluruh negara,” kata pengarah urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.

“Dengan kempen yang kini semakin mendapat sambutan dan banyak lagi syarikat yang akan menyertainya, kami percaya kami akan mampu untuk menggabungkan kekuatan kami bagi menaikkan perniagaan tempatan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa Petronas bukan sahaja membantu IKS dari segi startegi dan pemasaran kerana sebahagian syarikat mempunyai kapasiti tetapi tidak mempunyai pengalaman. Petronas turut bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mencari dan membantu IKS yang berpotensi untuk diketengahkan.

Petronas sentiasa membuka peluang ini kepada semua warga IKS tempatan; jika anda seorang usahawan dan berminat untuk menyertai Program IKS Petronas, jangan segan untuk menghubungi mereka menerusi talian khidmat pelanggan Mesralink dengan mendail 1300-88-8181.