Acara Thailand Motor Expo yang sedang berlangsung sekarang menyaksikan pasaran negara itu menerima Mazda 2 facelift untuk kedua-dua bentuk badan sedan dan hatchback. Kedua-dua versi Mazda 2 ini berkongsi perubahan gaya sama, yang kebanyakannya seperti mendapat inspirasi daripada Mazda 6.
Di bahagian hadapan, antara yang berubah adalah gril krom lebih tebal dengan bahagian dalam mesh, bampar lebih ringkas dengan bukaan udara di penjuru yang lebih nipis dan mempunyai kemasan krom, serta lampu yang lebih tajam.
Jalur bukaan udara yang nipis juga digunakan pada bampar belakang, bersama bahagian bawah yang mempunyai kemasan plastik hitam matte, tempat nombor plet yang diletakkan pada bahagian atas serta grafik lampu baru. Model Sedan pula mendapat bampar yang lebih agresif serta bahagian dalam gril yang mempunyai jalur krom di atas.
Untuk pasaran Thailand, Mazda 2 ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu empat silinder petrol SkyActiv-G 1.3 liter NA berkuasa 93 PS pada 5,800 rpm dan 123 Nm tork pada 4,000 rpm, dan empat silinder diesel turbo SkyActiv-D 1.5 liter berkuasa 105 PS pada 4,000 rpm dan 250 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Kedua-duanya datang dengan transmisi automatik enam kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.
Pada aspek penggunaan bahan api, enjin petrol mampu memberi catatan 23.3 km/l manakala enjin diesel mencatat 26.3 km/l. Melalui catatan ini, Mazda 2 dapat menepati kategori Eco Car Fasa 2 di negara itu. Kedua-dua enjin juga dilengkapi dengan sistem idle i-Stop, penjanaan semula kuasa brek i-ELOOP, pemilih mod pemanduan dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).
Kedua-dua versi Mazda 2 facelift ini juga mempunyai pilihan varian yang sama iaitu 1.3 E, 1.3 C, 1.3 S, 1.3 S Leather dan 1.3 SP untuk model petrol serta XD dan XDL untuk enjin diesel. Walaubagaimanapun, model hatchback mendapat tambahan nama “Sports” untuk semua varian.
Model permulaan 1.3 E berharga 546,000 baht (RM75,366) mendapat kelengkapan seperti lampu LED projector, rim 15 inci, DRL mentol, tempat duduk fabrik, pendingin hawa kawalan manual, head unit standard dengan empat pembesar suara, pemula enjin tanpa kunci, dua beg udara, kawalan cengkaman, ABS, EBD, BA, DSC dan Hill Start Assist.
Varian 1.3 C berharga 602,000 baht (RM83,106) pula ditambah dengan sistem masuk tanpa kunci, pengesan undur, sistem infotainmen Mazda Connect dengan sokongan Apple CarPlay, dua lagi pembesar suara, fungsi navigasi dan pendingin hawa automatik.
Seterusnya, varian 1.3 S berharga 627,000 baht (RM86,539) diberikan dengan DRL LED, cermin sisi boleh lipat elektronik, cruise control, head-up display serta roda stereng dan tombol gear yang dibalut kulit. Varian 1.3 S yang berharga 648,000 baht (RM89,426) barulah datang dengan tempat duduk kulit.
Varian petrol paling tinggi, 1.3 SP yang berharga 690,000 baht (RM95,203) datang dengan rim 16 inci, pemerhati 360 darjah, pemerhati titik buta. Rear Cross Traffic Alert, pengesan jarak hadapan dan pedal penukar gear di stereng.
Varian XD diesel yang berharga 782,000 baht (RM107,932) berkongsi senarai kelengkapan sama seperti 1.3 S Leather, manakala XDL yang berharga 799,000 baht (RM110,307) mempunyai senarai kelengkapan sama seperti 1.3 SP. Keseluruhannya ada lapan pilihan warna untuk Mazda 2 facelift ini dan pelbagai lagi aksesori yang ditawarkan.
GALERI: Mazda 2 Hatchback XD Sports 2020 (Thailand)
GALERI: Mazda 2 Sedan XDL 2020 (Thailand)
You have accidentally included 1 Honda Accord picture in the album.