Setelah beberapa tahun berada dalam pasaran, Yamaha NMax kini diberikan pembaharuan yang agak besar dan didedahkan di Indonesia. Daripada aspek penampilan, sekali pandang ia mungkin nampak sama tetapi apabila diperhatikan nyata semua panel badannya adalah baru.

Ini termasuklah lampu hadapan yang sekarang mempunyai lampu DRL LED, penghadang angin depan yang sedikit melengkung, lampu penunjuk arah yang lebih kecil dan direndahkan, panel tepi yang lebih beralun dan lampu belakang LED baru yang terpisah dua seperti XMax 250.

Perkara yang lebih banyak dinaik taraf pada NMax baru ini sebenarnya adalah kelengkapan dan ciri di mana ia sekarang datang dengan sistem Start Stop, Smart Motor Generator, Traction Control, Sistem tanpa kunci, pengecas USB serta panel meter digital baru berbentuk petak.

Bukan setakat informasi penting biasa, panel meter NMax baru ini juga boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect dan telefon pintar, untuk memberikan fungsi paparan mesej dan panggilan, serta pengesan GPS. Selain terpapar pada panel meter tersebut, anda juga boleh melihat informasi berkenaan motosikal melalui telefon pintar dan mengesan kedudukannya.

Pada bahagian enjin, ia masih lagi unit sama satu silinder SOHC VVA suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 14.9 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000 rpm. Tangki bahan apinya masih lagi 6.6 liter. Setakat ini harga untuk NMax baru di Indonesia masih belum didedahkan kerana ia hanya akan dijual secara rasmi pada tahun 2020.