Jika anda akan berada di Pulau Pinang nanti, anda mungkin akan berhadapan dengan sedikit kesukaran sekiranya memerlukan perkhidmatan trak tunda di sana sepanjang tarikh 2 Disember hingga 9 Disember 2019. The Sun melaporkan, hal berkenaan disebabkan oleh mogok yang dilakukan oleh pengusaha trak tunda di pulau berkenaan bagi tempoh seperti yang dinyatakan.

Mogok berkenaan khabarnya disebabkan oleh percanggahan yang berlaku antara persatuan trak tunda negeri itu, pemilik bengkel kenderaan dan syarikat insurans. Kegagalan untuk menemui kata sepakat dalam hal berkenaan telah menyebabkan mogok ini berlangsung.

Antara punca utama yang dipercayai menyumbang kepada perkembangan ini ialah berkaitan pembayaran lewat daripada beberapa pihak terlibat di dalam industri baik pulih kenderaan. Di dalam hantaran media sosial, Persatuan Pemilik Bengkel Kenderaan Motor Pulau Pinang menyatakan turut akan menutup bengkel baik pulih kenderaan dalam tempoh berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah memanggil wakil daripada KPDNHEP, JPJ dan persatuan trak tunda berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian. “Kami ingin memahami dengan lebih tepat situasi ini,” ujar Chow. Kerajaan negeri amat menyesali apa yang berlaku dan berharap semua pihak terlibat akan dapat mencari jalan penyelesaian segera.

“Memandangkan ini melibatkan tuntutan insurans dan baik pulih kenderaan, kami sangat menghargai sekiranya agensi-agensi terlibat kembali ke meja rundingan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik supaya perkhidmatan trak tunda akan kembali beroperasi untuk pelanggan,” tambah beliau.