Penjualan nombor pendaftaran khas dilihat mampu membantu menjana keuntungan untuk kerajaan. Buktinya, pada tahun lalu sahaja sebanyak RM400 juta telah dikutip hasil penjualan nombor pendaftaran khas berkenaan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hasil pendapatan itu dapat digunakan untuk disalurkan kepada pembangunan negara dalam pelbagai sektor. Tambahnya, sehingga kini permintaan untuk membida nombor digit khas juga masih menggalakkan dan kerajaan mampu menjana pendapatan RM1 juta setiap bulan.

Selain badan bukan kerajaan (NGO), kini universiti awam (UA) diberi kelonggaran untuk menjana pendapatan sendiri menerusi penjualan nombor pendaftaran khas, hasil keputusan mesyuarat kabinet.

“Langkah ini dilihat mampu membantu UA untuk menggunakan hasil bidaan bagi penyelidikan, pembangunan universiti dan bantuan kepada penuntut. Setakat ini tujuh UA sudah melancarkan nombor pendaftaran khas masing-masing yang akan tamat untuk tempoh tiga tahun,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Semalam Majlis Pelancaran dan Pembidaan Nombor Pendaftaran Khas ‘UTM’ bagi Universiti Teknologi Malaysia, telah pun berlangsung. Nombor pendaftaran khas UTM boleh mula dibida untuk sesi pertama bermula hari ini sehingga 16 Disember 2019 dengan harga bidaan bermula RM1,000 hingga RM200,000.

Di mana kakitangan, pesara dan alumni UTM dialu-alukan untuk membida nombor pendaftaran khas ini yang bermula dari nombor satu hingga 9999. Difahamkan, UTM membangunkan sistem bidaan sendiri dan setakat ini sambutan yang diterima menggalakkan.