Bagi terus bersaing dengan perkhidmatan e-hailing, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berpendapat, industri teksi perlu melakukan perubahan yang sewajarnya termasuk menerima pakai teknologi terkini.

Menurut Loke, daripada 43,000 pemandu teksi di Malaysia, hanya 10,000 yang mengamalkan aplikasi e-hailing manakala yang lain masih menggunakan cara konvensional.

“Pemandu teksi yang menggunakan aplikasi e-hailing, boleh mengambil penumpang menggunakan dua platform, e-hailing serta perhentian teksi. Penumpang hari ini mempunyai pilihan, mereka (pemandu teksi) perlu berubah dan mereka harus memastikan menawarkan perkhidmatan dengan cara yang lebih baik, secara digital dan dapat bersaing dengan e-hailing,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran aplikasi #JOMTEKSI baru-baru ini.

#JOMTEKSI merupakan inisiatif di bawah TNG Digital yang menyediakan ekosistem untuk pemandu teksi berkembang maju dalam ekonomi digital.

Lebih 6,000 pemandu teksi memilih untuk menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dan menerusi #JOMTEKSI, setiap pemandu teksi berkenaan memperoleh insentif tambahan RM4 bagi setiap penumpang yang pertama kali membuat bayaran menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Melalui inisiatif #JOMTEKSI itu, lima perhentian teksi di Putrajaya dan Cyberjaya diubah suai iaitu perhentian teksi itu turut dilengkapi dengan port USB untuk memudahkan penumpang mengecas peranti mudah alih mereka. Loke berkata pelaksanaan kod QR untuk perkhidmatan teksi menggunakan Touch ‘n Go eWallet adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2020 ke arah komuniti tanpa tunai dan menyediakan pilihan lebih inovatif dan mudah untuk pengguna.

“Penumpang teksi tidak perlu risau lagi untuk menyediakan wang tunai dan baki ketika membuat pembayaran. Pada masa yang sama, pengusaha teksi dapat mengembangkan lagi urus niaga mereka bagi memenuhi permintaan industri,” katanya.